KUALA LUMPUR 3 Feb — Pintaras Jaya Berhad menerima surat penganugerahan (LOA) bagi projek pembinaan sebuah jambatan di Kuching, Sarawak yang bernilai kira-kira RM35.5 juta.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, kontrak terbaharu itu diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Pintaras (East Malaysia) Sdn Bhd yang bertarikh 2 Februari 2026.
Katanya, ia meliputi kerja tanah, paip, cerucuk, jambatan, tiang dan struktur atas jambatan, dengan tempoh pelaksanaan dijangka 29 bulan dan kerja-kerja akan dimulakan dengan segera.
"Kontrak ini tidak memberi kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama, dan dijangka menyumbang positif kepada pendapatan masa depan kumpulan," kata Pintaras Jaya.
Tambah kumpulan pembinaan berkenaan lagi, pembiayaan untuk projek tersebut hanya melibatkan sumber daripada dana dalaman syarikat itu sendiri, tanpa ada sebarang pinjaman luar.
Selain itu jelasnya lagi, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung terhadap kontrak terbaharu itu.
Lembaga Pengarah Pintaras Jaya juga katanya menilai risiko operasi projek berkenaan adalah bersifat biasa dan tidak memberi kesan besar kepada kumpulan itu. - DagangNews.com








