Pinjaman diluluskan jatuh 1.5% pada 8M25, ancam pemulihan sektor hartanah – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pinjaman diluluskan jatuh 1.5% pada 8M25, ancam pemulihan sektor hartanah – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Okt – Walaupun permohonan pinjaman pembelian hartanah naik, jumlah diluluskan pula menurun sebanyak 1.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM188.8 bilion, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, kemerosotan dicatatkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini dan situasi tersebut disifatkan sebagai cabaran utama boleh menggugat pemulihan sektor hartanah.


Tambahnya, kadar kelulusan pinjaman sepanjang 8M25 itu hanya 43.4%, lebih rendah berbanding 44.6% pada 2024, yang mencerminkan keadaan ketat isu syarat pinjaman oleh pihak bank tempatan sendiri.


"Meskipun permohonan kukuh, kelembapan kelulusan menunjukkan bank masih berwaspada, dan ini boleh melambatkan transaksi hartanah serta mengekang pertumbuhan jualan baharu,” jelas MBSB Research.


Bagaimanapun kata firma itu dalam notanya, permohonan pinjaman terus menunjukkan momentum positif dengan jumlah terkumpul sebanyak RM435.2 bilion, naik 1.9% YoY dari Januari hingga Ogos 2025.


Pemulihan ini berikutan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025 dengan permohonan pinjaman pada Ogos 2025 sahaja mencecah RM60.8 bilion, naik +6.9% YoY.


Kata MBSB Research, ia menjadi pemulihan pertama selepas tiga bulan berturut-turut mencatat penurunan tahunan, selain disokong Indeks Hartanah Bursa Malaysia melonjak +4.4% pada September 2025.


"Angka ini juga mengatasi kenaikan indeks FBMKLCI sendiri sebanyak 2.3% dengan saham seperti KSL Holdings (+98.2%) dan Plenitude (+55.3%) antara penyumbang utama," kata firma penyelidikan itu.


Penilaian sektor masih munasabah dengan nisbah harga kepada nilai buku (P/B) ialah 0.66 kali, sejajar purata jangka panjang, dan membuka ruang kenaikan lanjutan selagi momentum pembelian.


Prestasi indeks hartanah tahun ini ada hubungan dengan aliran masuk bersih dana asing tertinggi sebanyak RM184 juta pada September 2025, dan berjaya menjadi prestasi bulanan terbaik pada 2025.


MBSB Research menjangkakan pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat bakal mendorong kemasukan semula dana asing ke pasaran ekuiti tempatan, sekali gus menyokong sektor hartanah Malaysia.


"Kami kekal penarafan 'positif' ke atas prospek sektor hartanah dan memilih beberapa kaunter utama sebagai pilihan pelaburan, antaranya Mah Sing, Matrix Concepts dan UOA Development," katanya.


Tiga syarikat itu dinilai kekal kukuh dalam pasaran hartanah mampu milik dan dijangka memperoleh manfaat daripada lanjutan Kempen Pemilikan Rumah hingga Disember 2027. - DagangNews.com