KUALA LUMPUR 7 Okt – Malaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) berdepan cabaran operasi menjelang penutupan loji peleburan di Butterworth dan pemindahan ke Pulau Indah menjelang akhir 2025.
Menurut Public Investment Bank, walaupun langkah ini dijangka mengurangkan kos operasi sehingga 30%, ia turut membawa risiko gangguan sementara kepada rantaian pengeluaran dan kecekapan operasi.
Kata firma penyelidikan tersebut, masalah berkenaan memang perlu dihadapi syarikat industri timah bersepadu itu terutamanya jika peralihan fasiliti dan integrasi proses tidak berjalan dengan lancar.
"Tambahan pula, Butterworth ialah tapak operasi utama MSC selama puluhan tahun. Justeru, sebarang kelewatan, isu teknikal atau masalah logistik boleh memberi kesan," katanya dalam nota kajian.
Situasi gangguan tersebut kata PublicInvest, meskipun hanya bersifat jangka pendek, ia seterusnya boleh menjejaskan margin keuntungan syarikat dalam tempoh peralihan sekiranya pemindahan bermasalah.
Firma itu memulakan liputan ke atas MSC dengan saranan 'neutral' setelah mengambil kira penilaian semasa yang dilihat kurang menarik walaupun prospek industri timah kekal memberangsangkan.
Harga sasaran pula katanya, ditetapkan kepada RM1.48, berdasarkan unjuran perolehan sesaham FY26, yang mencerminkan potensi kenaikan harga saham syarikat adalah masih terhad dalam masa terdekat.
"Walaupun ekonomi global dilihat berdepan dengan ketidaktentuan, MSC pula berada dalam posisi strategik memanfaatkan permintaan timah yang sebenarnya meningkat di pasaran," kata PublicInvest.
Bagaimanapun, ia juga memberi amaran selain daripada risiko pemindahan loji dari Pulau Pinang ke Selangor, MSC turut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk persaingan dari pengeluar yang lain.
Ini terutama di rantau Asia Tenggara dan benua Afrika, di samping ketergantungan kepada harga timah global yang sangat mudah terjejas oleh faktor geopolitik serta dasar perdagangan antarabangsa.
Selain itu kata PublicInvest, risiko alam sekitar dan peraturan yang semakin ketat dalam industri perlombongan, turut menuntut pematuhan piawaian amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Kami namun mengiktiraf asas kukuh MSC, rekod operasi panjang serta transformasi ke arah operasi lebih moden, dengan penilaian semasa mencerminkan sebahagian besar prospek pertumbuhan," katanya.
Kumpulan itu kekal sebagai peneraju dalam industri timah dengan pelan transformasi yang jelas dan komitmen terhadap kelestarian dan pemindahan loji itu memastikan kesinambungan prestasi kewangan.
Kemudahan Pulau Indah dilengkapi dengan teknologi tinggi yang membolehkan peningkatan kecekapan dan fleksibiliti pengeluaran serta menjadi teras kepada operasi peleburan MSC dalam jangka panjang.
PublicInvest berkata, sebaik sahaja fasiliti di Butterworth ditamatkan secara rasmi pada hujung 2025, tanah itu dijangka dimajukan secara bersama atau dijual bagi menjana nilai tambahan. - DagangNews.com








