Pimpinan Ehsan cadang pulangkan RM62.9 juta kepada pemegang saham, mohon nyahsenarai susulan pelan PN16 gagal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pimpinan Ehsan cadang pulangkan RM62.9 juta kepada pemegang saham, mohon nyahsenarai susulan pelan PN16 gagal

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 April - Pimpinan Ehsan Bhd bercadang untuk mengagihkan semula sebanyak RM62.9 juta kepada pemegang saham menerusi agihan tunai serta memohon untuk menyahsenarai secara sukarela daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Langkah itu dibuat selepas pelan pemulihan Nota Amalan 16 (PN16) syarikat yang melibatkan firma tenaga boleh diperbaharui, reNIKOLA Holdings Sdn Bhd, tidak diteruskan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata ia akan melaksanakan pengurangan modal dan pembayaran balik bagi mengagihkan 91 sen sesaham kepada pemegang saham yang layak.

 

“Cadangan agihan tunai ini akan dibiayai sepenuhnya daripada rizab tunai syarikat yang disimpan dalam akaun penjaga sah, berjumlah kira-kira RM65.17 juta setakat 22 April 2026,” katanya.

 

Berdasarkan data Bloomberg, pemegang saham terbesar Pimpinan Ehsan ialah Pitahaya (M) Sdn Bhd, yang memiliki 37.4% kepentingan atau 25.85 juta saham. Pitahaya dijangka menerima kira-kira RM23.53 juta daripada agihan tersebut.

 

Seorang lagi pemegang saham utama, Lim Beng Guan yang memegang 9.36% kepentingan pula dijangka menerima sekitar RM5.89 juta.

 

Cadangan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, pengesahan mahkamah bagi pelaksanaan pengurangan modal serta kelulusan Bursa Malaysia untuk penyahsenaraian.

 

Syarikat menyasarkan untuk melengkapkan cadangan tersebut menjelang suku ketiga 2026.

 

Terdahulu, Pimpinan Ehsan memaklumkan ia tidak akan meneruskan pelan pemulihan selepas menerima notis daripada reNIKOLA yang menarik diri daripada cadangan berkenaan.

 

Menurut reNIKOLA, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira status semasa cadangan serta kekangan masa untuk Pimpinan Ehsan mengemukakan pelan pemulihan sebelum tarikh akhir 30 Jun 2026 yang ditetapkan Bursa Malaysia.

 

Susulan perkembangan itu, lembaga pengarah Pimpinan Ehsan berpandangan syarikat tidak berupaya memenuhi keperluan untuk menyerahkan pelan pemulihan dalam tempoh ditetapkan.

 

“Sehubungan itu, pengagihan semula rizab tunai kepada pemegang saham secara pro-rata dilihat sebagai langkah paling wajar demi kepentingan mereka,” katanya.

 

Selepas penyelesaian agihan dan penyahsenaraian, syarikat bercadang untuk menjalankan proses penggulungan secara sukarela, dengan sebarang baki tunai akan diagihkan semula kepada pemegang saham.

 

Untuk rekod, Pimpinan Ehsan diklasifikasikan sebagai syarikat PN16 sejak 2018 selepas melupuskan anak syarikat milik penuhnya, TRIplc Bhd kepada Puncak Niaga Holdings Bhd pada harga RM210 juta.

 

Sejak itu, syarikat berusaha menormalkan kedudukannya melalui suntikan aset tenaga solar menerusi reNIKOLA, namun usaha tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan.

 

Bursa Malaysia sebelum ini telah memberikan lanjutan akhir sehingga 30 Jun 2026 kepada syarikat untuk mengemukakan pelan pemulihan, dengan risiko penggantungan dagangan dan penyahsenaraian sekiranya gagal dipenuhi. - DagangNews.com