Pihak Berkuasa Pasaran Modal Arab Saudi membenarkan pelaburan asing dalam syarikat tersenarai hartanah di Mekah dan Madinah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pihak Berkuasa Pasaran Modal Arab Saudi membenarkan pelaburan asing dalam syarikat tersenarai hartanah di Mekah dan Madinah

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan - Pihak Berkuasa Pasaran Modal Saudi (CMA) mengumumkan warga asing dibenarkan melabur dalam syarikat tersenarai di pasaran modal Arab Saudi yang memiliki hartanah dan beroperasi di sempadan bandar Mekah dan Madinah.

 

Ini berikutan kelulusan Kawalan Pengecualian Syarikat Tersenarai di Bursa Saham Saudi (Tadawul). 

 

CMA berkata, kemasukan pelabur asing menyasar untuk merangsang pelaburan, meningkatkan daya tarikan dan kecekapan pasaran modal dan mengukuhkan daya saing serantau dan antarabangsa sambil menyokong ekonomi tempatan.

 

“Ini termasuk menarik modal asing dan menyediakan kecairan yang diperlukan bagi projek semasa dan masa depan di Mekah dan Madinah.

 

"Mengikuti kawalan yang diluluskan, pelaburan asing dalam syarikat yang memiliki hartanah dalam sempadan Mekah dan Madinah akan dihadkan kepada saham syarikat Saudi yang tersenarai di pasaran modal Saudi.

 

“Walau bagaimanapun, gabungan pemilikan individu dan entiti sah yang bukan warganegara Saudi tidak boleh memiliki 49% saham dalam syarikat tersenarai Saudi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada masa yang sama, CMA memberikan syarikat tersenarai Saudi hak memperoleh pemilikan ke atas hartanah yang diperuntukkan untuk ibu pejabat atau pejabat cawangan mereka di Mekah dan Madinah.

 

Ini bergantung kepada harta itu digunakan sepenuhnya untuk tujuan ini dan mengikut peraturan pengecualian Kawalan Pengecualian di bawah Undang-undang Pemilikan dan Pelaburan Hartanah Bukan Saudi.

 

CMA telah melaksanakan pelbagai usaha dan langkah untuk meningkatkan daya tarikan pasaran modal Saudi dan memudahkan kemasukan pelabur asing, secara langsung dan tidak langsung.

 

Usaha ini termasuk membenarkan pemastautin warga asing melabur secara langsung dalam pasaran saham Saudi, membolehkan mereka mengakses pasaran, membenarkan pelabur strategik asing memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat tersenarai dan membolehkan mereka secara langsung melalui instrumen hutang.

 

Inisiatif ini mencerminkan kesempurnaan dan kepelbagaian pilihan pembiayaan pasaran modal yang tersedia untuk membangunkan projek di Mekah dan Madinah.

 

Sementara itu, CMA berkata, langkah ini menyokong kepada objektif Wawasan Saudi 2030, yang bertujuan untuk menjadikan pasaran modal Saudi menarik kepada pelaburan tempatan dan asing.- DagangNews.com