PIE Industrial catat prestasi lemah, untung bersih susut hampir 60% pada FY25 akibat tarif AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PIE Industrial catat prestasi lemah, untung bersih susut hampir 60% pada FY25 akibat tarif AS

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 April – PIE Industrial Berhad mencatatkan prestasi lebih lemah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 apabila pendapatan dan keuntungan kumpulan menyusut berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penurunan prestasi itu dipengaruhi oleh persekitaran global yang mencabar termasuk tarif Amerika Syarikat, tekanan kos dan ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang.

 

“Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM879.25 juta pada 2025, susut 9.86% daripada RM975.45 juta pada 2024, terutamanya disebabkan pengurangan tempahan daripada pelanggan utama susulan pelaksanaan tarif import Amerika Syarikat.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut jatuh kepada RM31.98 juta berbanding RM57.84 juta sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) merosot hamper 60% kepada RM20.94 juta berbanding RM52.17 juta pada tahun kewangan sebelumnya,” kata PIE Industrial dalam makluman itu.

 

Sebahagian kelemahan prestasi itu diimbangi oleh kos pengeluaran yang lebih rendah, peningkatan hasil jualan bahan lebihan kilang, pengurangan kos faedah serta pelarasan nilai saksama hartanah pelaburan dan pemulihan inventori secara perlahan.

 

Dari segi segmen perniagaan, operasi di Malaysia kekal penyumbang utama dengan 95.87 peratus daripada jumlah hasil kumpulan, manakala operasi di Thailand menyumbang 4.13 peratus.

 

Namun, segmen Thailand merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.28 juta walaupun mencatat pertumbuhan hasil yang lebih tinggi.

 

Segmen EMS di Malaysia menyusut 13.47 peratus kepada RM842.94 juta akibat pengurangan pesanan pelanggan, manakala segmen wayar dan kabel merosot sedikit. Walaupun begitu, operasi di Thailand meningkat 55.57 peratus kepada RM36.31 juta disokong peningkatan tempahan pelanggan baharu dan sedia ada.

 

Dari sudut kewangan, jumlah aset kumpulan berkurang kepada RM802.08 juta berbanding RM855.06 juta sebelumnya, dipacu oleh pengurangan penghutang perdagangan dan inventori selaras dengan jualan lebih rendah, walaupun terdapat peningkatan tunai, pelaburan jangka pendek serta disiplin pengurusan modal kerja.

 

Belanja modal (CAPEX) kumpulan menurun ketara kepada RM29.15 juta pada 2025 berbanding RM90.74 juta pada 2024, berikutan pelaburan besar pada tahun sebelumnya untuk pembelian mesin, peralatan serta pengembangan kapasiti kilang bagi menyokong permintaan tinggi ketika itu.

 

Dalam aspek pulangan kepada pemegang saham, kumpulan membayar dividen interim sebanyak 2.4 sen sesaham dan dividen khas 2.6 sen sesaham pada 2025, dengan jumlah pembayaran kira-kira RM19.2 juta, selain mengekalkan dasar dividen yang seimbang antara ganjaran pemegang saham dan keperluan pelaburan masa depan.

 

Bagi prospek 2026, kumpulan kekal optimis dengan peluang pertumbuhan daripada trend “China + 1”, peningkatan permintaan sektor pusat data dan server, serta peluasan kapasiti melalui kilang baharu yang telah siap beroperasi, selain penjimatan kos tenaga melalui pemasangan panel solar serta langkah meningkatkan produktiviti pekerja susulan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan sumbangan EPF pekerja asing sebanyak 2 peratus.- DagangNews.com