KUALA LUMPUR 11 Mei — Langkah Pentamaster Corporation Berhad mengembangkan perniagaan ke segmen penjagaan kesihatan kini mula memberi tekanan kepada prestasi kewangan syarikat tersebut.
Menurut analisis Phillip Capital, situasi itu dapat dilihat apabila kerugian lebih besar daripada jangkaan dalam segmen tersebut menjejaskan keuntungan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26).
Firma penyelidikan itu berkata, meskipun mencatatkan pertumbuhan hasil, keuntungan teras bersih sebanyak RM15 juta masih lemah susulan kos tinggi pengkomersialan perniagaan penjagaan kesihatan.
"Sehubungan itu, kami menurunkan penarafan saham Pentamaster kepada 'pegang' daripada 'beli', namun menaikkan harga sasaran (TP) bagi 12 bulan kepada RM4.10 berbanding RM3.95 sebelum ini," katanya.
Menurut Phillip Capital, hasil syarikat itu naik 37% tahun ke tahun (YoY) kepada RM180 juta, dipacu pemulihan kukuh segmen rumusan automasi kilang (FAS) yang melonjak 159% hasil permintaan tinggi.
Bagaimanapun, prestasi itu sebahagiannya diimbangi kelemahan segmen peralatan ujian automasi (ATE) yang susut 9% akibat permintaan perlahan daripada sektor automotif serta pengguna perindustrian.
Ujar firma itu, walaupun pertumbuhan hasil Pentamaster lebih baik, margin kasar jatuh 4.6 mata peratusan disebabkan peningkatan kos tetap berkaitan pengkomersialan segmen penjagaan kesihatan.

"Untung bersih teras merosot 43.7% walaupun hasil meningkat 13%, berikutan kerugian lebih besar daripada jangkaan dalam segmen penjagaan kesihatan menerusi unit MediQ," kata Phillip Capital.
Menurutnya, segmen perniagaan penjagaan kesihatan kumpulan berkenaan dijangka terus merekodkan kerugian sepanjang 2026 memandangkan ia masih berada pada peringkat awal pengkomersialan.
Dalam pada itu jelas firma penyelidikan berkenaan, buku tempahan terkumpul Pentamaster meningkat 20% suku ke suku (QoQ) kepada RM480 juta pada 1QFY26 berbanding RM400 juta pada akhir 2025.
Sektor perubatan tambah Phillip Capital, menyumbang bahagian terbesar sebanyak 55%, diikuti produk pengguna dan industri (24%), automotif (11%), elektro-optik (6%) dan lain-lain segmen sebanyak 5%.
"Kami menjangkakan sektor perubatan, elektro-optik dan automotif akan kekal menjadi pemacu utama kepada trend pertumbuhan positif kumpulan tersebut pada masa hadapan," ujar firma berkenaan.
Susulan prestasi semasa, ia menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 antara 8% hingga 24% bagi mengambil kira kerugian tinggi segmen penjagaan kesihatan.
Pemulihan pendapatan syarikat itu kata Phillip Capital, dilihat sudah banyak diambil kira dalam penilaian semasa saham yang kini diniagakan pada gandaan 31 kali EPS pada 2027. - DagangNews.com








