Phillip Capital mulakan liputan ke atas Keyfield, unjur pertumbuhan untung bersih 17% hingga FY28 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital mulakan liputan ke atas Keyfield, unjur pertumbuhan untung bersih 17% hingga FY28

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 AprilPhillip Capital Research memulakan liputan ke atas Keyfield International Berhad dengan unjuran pertumbuhan keuntungan bersih tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 17%.


Firma penyelidikan tersebut menambah, ramalan berkenaan bagi tempoh tahun kewangan 2025 hingga 2028, dengan disokong asas operasi yang semakin kukuh serta pengembangan perniagaan kumpulan.


Seiring perkembangan itu, ia mengesyorkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 9 kali ganda ke atas unjuran hasil sesaham 2027.


"Saham Keyfield ketika ini masih diniagakan pada penilaian menarik sekitar 8 kali PE hadapan, dan menawarkan potensi penilaian semula apabila sentimen sektor bertambah baik," kata Phillip Capital.


Di samping itu, firma berkenaan dalam notanya berkata, antara kekuatan utama syarikat ialah armada kapal yang lebih muda dengan purata usia sembilan tahun berbanding rekod industri iaitu 12 tahun.


Kumpulan perkhidmatan maritim tersebut ujarnya, mengendalikan sejumlah 14 kapal yang merangkumi pelbagai segmen, dengan menyokong kadar penggunaan serta kadar sewaan harian (DCR) lebih tinggi.

 

Keyfield_DagangNews


Tambahan pula jelas Phillip Capital, status sebagai pengendali berlesen PETRONAS membolehkan Keyfield mengakses peluang kontrak domestik secara langsung, dan memastikan aliran kerja stabil.


"Kami menjangkakan pertumbuhan disokong penambahan kapal baharu dan pengembangan ke rantau Timur Tengah, termasuk pengambilalihan 65% kepentingan dalam operasi syarikat berkaitan," tambahnya.


Ujar firma itu, kadar penggunaan armada dijangka meningkat kepada 74% dalam tempoh 2026 hingga 2028, manakala margin bersih diramal berkembang kepada 31% berbanding hanya 25% sebelum ini.


Bagaimanapun kata Phillip Capital, antara risiko utama Keyfield termasuk penurunan permintaan terhadap kapal pesisir, peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan harga minyak mentah global.


Secara keseluruhan, ia berpandangan kumpulan itu berada di landasan pertumbuhan, dengan kombinasi faktor asas kukuh yang membuka ruang kepada potensi kenaikan harga saham. - DagangNews.com