KUALA LUMPUR 23 Jun — Philip Morris International (PMI) menyasarkan mampu mencapai sehingga 50 peratus daripada keseluruhan hasil bersih perniagaan menerusi produk bebas rokok pada tahun ini.
Pengarah Urusan Philip Morris Malaysia, Naeem Shahab Khan berkata, unjuran tersebut tidak mustahil diraih dalam masa terdekat berdasarkan trend positif semasa yang berlaku di negara ini dan seluruh dunia.
Tambahnya, jika dilihat keputusan pada suku pertama sendiri, PMI merekodkan perniagaan bebas asap rokok tradisional yang sudah menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan jualan bersih kumpulan itu.
Artikel berkaitan: Larangan vape akan 'backfire': Industri, penyokong pengguna gesa kerajaan kuatkuasakan peraturan, bukan pengharaman

"Sepanjang tiga bulan pertama 2025, kami mencatatkan seramai 38.6 juta pengguna peranti menerusi jenama khas PMI sendiri iaitu IQOS yang melibatkan 95 negara di dunia," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau bersama-sama Pengarah Operasi Komersialnya, Mazlan Jala Musa melancarkan tiga model terkini IQOS iaitu ILUMA i PRIME, ILUMA i dan ILUMA i ONE yang menawarkan pelbagai ciri baharu.
Ia boleh disesuaikan pengguna yang ingin berhenti menghisap rokok tembakau antaranya teknologi skrin sentuh dan jeda masa serta langsung tiada bahan nikotin dan bebas daripada sebarang asap.

Mengulas lanjut, Naeem berkata, PMI sebagai perintis peranti rokok elektronik global hampir dua dekad lalu, sudah melabur lebih AS$14 bilion (kira-kira RM59.52 bilion) sejak 2008 dalam industri itu.
"Ini membuktikan komitmen kami dalam membangunkan peranti bebas rokok yang berasaskan penyelidikan saintifik dan pelbagai data ujian klinikal oleh beberapa agensi berwibawa antarabangsa," katanya.
Bermula di pasaran Jepun lebih 10 tahun lalu sebelum menembusi Malaysia tiga tahun kemudiannya, PMI tambah beliau berusaha memastikan setiap model peranti adalah selamat dan kurang berisiko.

Secara purata katanya, kajian badan-badan bebas ternama global mendapati peranti IQOS adalah 95 peratus kurang bahaya berbanding rokok tembakau dan tiada elemen pembakaran atau pelepasan asap.
Inovasi diketengahkan PMI itu tambah Naeem, menyaksikan di Jepun yang terkenal konservatif dan berdisiplin, lebih satu pertiga perokok dewasa menggunakan IQOS sebagai alternatif rokok biasa.
"Ini turut diakui agensi Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA) di Amerika Syarikat yang meluluskan produk kami untuk penjualan kepada perokok tegar serta individu mahu berhenti merokok," katanya.

Justeru tambahnya, pelancaran model terbaharu IQOS itu bukan sekadar acara pelancaran produk, namun sebenarnya transformasi ke arah masa depan Malaysia lebih baik tanpa asap rokok yang berbahaya.
Sementara itu, Mazlan Jala berkata, ciri-ciri pintar yang terdapat menerusi model ILUMA kali ini amat memudahkan pengguna kerana ia membolehkan peranti dikawal mengikut gaya keselesaan sendiri.
Tambahnya, ia ditawarkan dalam lima warna dengan harga antara RM159, RM259 dan RM499, serta boleh ditempah khas melalui laman web rasmi www.iqos.com atau portal e-dagang Lazada mulai 1 Julai 2025.
"Bermula pada tarikh itu, model ILUMA ini dapat dibeli menerusi pusat jualan bertauliah IQOS sendiri selain stesen-stesen minyak dan rangkaian kedai serbaneka seluruh negara," katanya. - DagangNews.com








