KUALA LUMPUR 5 Nov – Pharmaniaga Berhad melaksanakan proses pembubaran secara sukarela ke atas dua anak syarikatnya, iaitu Bio-Collagen Technologies Sdn Bhd (BCT) dan Paradigm Industry Sdn Bhd.
Menurut kumpulan farmaseutikal bersepadu itu, langkah penutupan dua subsidiari yang tidak aktif tersebut adalah antara sebahagian daripada usaha penstrukturan dalaman dan rasionalisasi operasi syarikat.
Keputusan berkenaan juga diluluskan melalui Resolusi Khas dalam mesyuarat ahli lembaga dari kedua-dua syarikat itu yang diadakan pada 6 Oktober 2025, di bawah Seksyen 439(1)(b) Akta Syarikat 2016.
"Bagi tujuan itu, Peng Ai Lin daripada Pronett Advanced Sdn Bhd dilantik sebagai pelikuidasi untuk menguruskan proses penutupan kedua-dua entiti ini," maklum Pharmaniaga kepada Bursa Malaysia.
Jelasnya, BCT ditubuhkan pada 7 Disember 2004 dengan modal berbayar RM2 juta, dimiliki sepenuhnya oleh Pharmaniaga serta pernah terlibat dalam penyelidikan dan pengeluaran kolagen halal perubatan.
Bagaimanapun katanya lagi, syarikat berkenaan yang beroperasi di Taman Perindustrian Balakong Jaya 2, Seri Kembangan, Selangor itu sudah lama bertindak menghentikan operasi perniagaan sejak 2022.
Paradigm Industry pula ujarnya, ditubuhkan pada 25 Julai 2016 dengan modal berbayar hanya sebanyak RM100,000, dan dimiliki sepenuhnya Pristine Pharma Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pharmaniaga.
"Ia yang beroperasi di Klang Sentral, Klang, Selangor sebelum ini aktif terlibat dalam pengeluaran dan penjualan makanan tambahan, namun kemudian telah menamatkan perniagaan sejak 2023," jelasnya.
Pharmaniaga menjelaskan yang pembubaran dua syarikat itu tidak memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, atau nisbah hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Selain itu tambahnya, tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama kumpulan, mahupun pihak berkaitan mereka, mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam proses ini.
Lembaga Pengarah turut menegaskan bahawa langkah pembubaran sukarela ini selaras dengan strategi kumpulan untuk meningkatkan kecekapan operasi serta pengoptimuman sumber dalaman syarikat.
“Penutupan ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan sebahagian daripada langkah penstrukturan strategik Pharmaniaga,” kata Lembaga Pengarah dalam kenyataan itu. - DagangNews.com








