KUALA LUMPUR 4 Dis – Pharmaniaga Berhad memperoleh sebuah kilang satu tingkat serta pejabat dua tingkat di Lot 22, Industrial Zone 12, Kota Kinabalu Industrial Park, Sabah yang bernilai RM26 juta.
Kumpulan tersebut berkata, ia diambil alih menerusi anak syarikatnya, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, setelah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Yang Guang Furniture (Sarawak) Sdn Bhd.
Pembayaran ditetapkan berperingkat, termasuk deposit RM2.6 juta, bayaran separa RM22.1 juta selepas menerima sijil dan kelulusan pemaju, serta RM1.3 juta selepas dokumen keselamatan lengkap.
"Pemilikan hartanah ini dijangka meningkatkan kapasiti logistik di Sabah selari strategi pengembangan Pharmaniaga bagi menyokong kontrak konsesi dengan kerajaan," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Syarikat tersebut menyatakan pengambilalihan ini tidak menjejaskan modal syer, pegangan pemegang saham utama, aset bersih, atau keuntungan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Selain itu tambahnya, tiada sebarang penglibatan kepentingan pihak pengarah atau pemegang saham utama kumpulan farmaseutikal tersebut dilaporkan dalam transaksi pembelian hartanah berkenaan.
Pharmaniaga menegaskan, langkah ini adalah untuk memperkukuhkan infrastruktur logistik syarikat itu, meningkatkan keberkesanan penghantaran dan menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang.
Di samping itu, keputusan SPA tersebut disifatkan wajar untuk kepentingan semua pemegang saham, dengan transaksi tidak memerlukan kelulusan tambahan daripada mereka sendiri. - DagangNews.com








