KUALA LUMPUR 16 Okt – Pelaburan BYD di Tanjung Malim, Perak dijangka menjadi pemangkin utama kepada lonjakan perniagaan PGF Capital Berhad, khususnya dalam segmen pembangunan hartanah.
Menurut TA Securities, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.99 sesaham, sambil menyifatkan syarikat bakal mendapat limpahan keuntungan besar daripada gelombang pelaburan itu.
Firma penyelidikan tersebut menambah, pembangunan infrastruktur yang dicetuskan oleh pengeluar kenderaan elektrik global berkenaan turut memberi kesan rantaian kepada pelbagai syarikat lain.
“Kehadiran BYD bakal memacu pembangunan utiliti seperti bekalan air di Tanjung Malim, yang sebelum ini menjadi faktor kelewatan pelancaran projek hartanah PGF,” kata TA Securities dalam notanya.
PGF sebelum ini pernah menerima kelulusan bersyarat untuk melancarkan projek pembangunan hartanah secara usaha sama (JV) di lokasi berkenaan, namun masih menunggu kelulusan penyambungan paip air.
Justeru, dengan pelaburan terbaharu BYD itu dijangka mempercepat pembangunan infrastruktur, TA Securities melihat pelancaran projek hartanah PGF akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
Langkah itu penting kerana PGF boleh merekodkan keuntungan jualan tanah segera sebanyak RM21 juta, sekiranya kadar pengambilan mencecah 80%, dengan RM9.8 juta atau 45% dimasuk dalam unjuran FY26.
"Kami turut menjangka permintaan hartanah kediaman di situ bakal naik ekoran pertumbuhan pekerjaan serta aktiviti perniagaan, hasil kehadiran vendor automotif dan pembekal alat ganti," katanya.
Keadaan ini jelas TA Securities, memberi kelebihan besar kepada PGF yang memiliki tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.0 bilion, serta 14 minit pemanduan dari tapak kilang BYD.
Kumpulan itu dijangka mengumumkan keputusan kewangan suku kedua FY26 pada akhir Oktober 2025 dan keuntungan diunjur mencecah RM9 juta, membawa jumlah keuntungan separuh pertama kepada RM18 juta.
Angka berkenaan tambah firma penyelidikan itu kira-kira 51% daripada unjuran tahunan FY26, dan ini belum termasuk permintaan kukuh produk penebat kaca wol di Australia yang kekal penyumbang utama.
"Impak tarif eksport ke Amerika Syarikat (AS) didapati tidak signifikan, namun pertumbuhan mungkin mendatar kerana kekangan kapasiti untuk menampung permintaan terlalu tinggi," kata TA Securities.
Situasi berkenaan berikutan pembinaan kilang baharu di Kulim, Kedah mengalami sedikit kelewatan satu bulan akibat isu kekurangan tenaga kerja, tetapi penghantaran mesin berjalan mengikut jadual.
Pengurusan PGF jelasnya, kekal optimis kilang itu akan siap sepenuhnya menjelang akhir November 2025, dengan operasi dijangka bermula pada suku pertama FY27 seperti dirancang. - DagangNews.com








