KUALA LUMPUR 17 Sept – PetrosNiaga mengambil langkah proaktif dalam usaha memastikan bekalan gas petroleum cecair (LPG) adalah kekal stabil dan mencukupi di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, langkah berkenaan termasuk menambah depot simpanan serta menggerakkan loji sementara di Bintulu.
Beliau menegaskan yang syarikat utiliti tenaga milik kerajaan negeri tersebut memperkukuh strategi logistik dan pengedaran untuk menampung permintaan pengguna semakin meningkat.
Ini kata beliau, terutamanya di kawasan utara negeri berkenaan yang terjejas susulan penutupan sementara Loji Pembotolan LPG Pusaka di Bintulu akibat insiden tanah runtuh pada awal tahun ini.
“PetrosNiaga komited memastikan rakyat tidak mengalami gangguan bekalan dan kini hampir dengan pelanggan melalui penambahan depot simpanan dan loji pembotolan sementara,” katanya.
Julaihi menjelaskan demikian kepada pemberita ketika melakukan sesi lawatan kerja ke Loji Pembotolan LPG Bintulu milik Pusaka Integrated Sdn Bhd, di Bintulu, Sarawak hari ini.
Sebelum insiden tanah runtuh pada 29 Januari 2025, Sarawak bergantung kepada dua loji pembotolan utama menampung keperluan harian sebanyak 25,000 silinder LPG 14 kilogram.
Ia melibatkan Senari IOT di Kuching mengeluarkan 13,000 silinder setiap hari untuk kawasan selatan dan tengah, manakala Pusaka dengan 12,000 silinder sehari bagi kawasan utara.
Jumlah keseluruhan pengedaran setahun ialah sebanyak 1.8 juta silinder, tetapi penutupan loji di Bintulu menyaksikan Senari IOT terpaksa memikul keseluruhan beban permintaan itu.
Mengulas lanjut, Julaihi memaklumkan, loji Pusaka beroperasi 24 jam sehari dan pengeluaran ditingkatkan kepada 28,000 silinder bagi menjamin bekalan ada sepanjang tempoh kritikal.
Sebagai langkah mitigasi kata beliau, sebuah loji sementara telah ditubuhkan di Bintulu bagi menyokong kapasiti pengeluaran dan kini, Sarawak kembali kepada kapasiti harian yang stabil.
Bekalan tambahan LPG turut disalurkan dari Sepanggar Bay, Sabah untuk memperkukuh kawasan utara Sarawak, memperlihatkan koordinasi rentas negeri dalam menstabilkan bekalan bahan api.
Julaihi turut menegaskan, PetrosNiaga sedang menambah bilangan depot simpanan LPG di seluruh negeri itu bagi memastikan lokasi penyimpanan lebih hampir dengan pengguna dan pengedar.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pengedaran, malah memastikan pengguna luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas bekalan gas memasak,” katanya.
Strategi PetrosNiaga ini sejajar matlamat Kerajaan Sarawak membina ekosistem tenaga mampan dan inklusif, menjadikan LPG mudah diakses semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
“Kami mahu pastikan bekalan bukan sahaja stabil, tetapi cepat sampai kepada pengguna. Ini sebahagian komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat,” tambah Julaihi. - DagangNews.com








