KUALA LUMPUR 4 Mei - Petroleum Sarawak Bhd (Petros) telah memfaikan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan jaminan bank RM7.95 juta dengan pengurusan kes berkenaan dijadualkan pada 22 Jun ini.
Langkah itu dibuat hampir dua bulan selepas Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan Petros untuk mendapatkan semula jaminan bank yang diambil oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) pada Februari 2024.
Sumber mengesahkan kepada The Edge, Petros telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah pada 25 Februari lalu, dengan kes kini dalam proses di Mahkamah Rayuan.
Dalam keputusan tersebut, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Petros selain enggan memutuskan persoalan perlembagaan berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak (DGO).
Hakim berpendapat tiada asas undang-undang mencukupi dikemukakan oleh Petros untuk membolehkan mahkamah membuat pengisytiharan berhubung kesahihan Perjanjian Bekalan Gas Sarawak (Sarawak GSA) atau isu perlembagaan yang dibangkitkan.
Dalam alasan penghakiman setebal 50 muka surat yang dilihat oleh The Edge, hakim bersetuju dengan hujahan peguam PETRONAS bahawa tiada peruntukan undang-undang yang dirujuk oleh Petros memberikan bidang kuasa kepada mahkamah untuk membuat pengisytiharan mengenai kesahihan Perjanjian Bekalan Gas Sarawak (Sarawak GSA) atau isu-isu perlembagaan berkaitan.
Faridz menyatakan bahawa peguam PETRONAS telah merujuk kepada Aturan 7, Kaedah 2(1A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, yang mensyaratkan setiap saman pemula (OS) menyatakan peruntukan undang-undang bertulis yang menjadi asas kepada permohonan tersebut.
“Dalam OS ini, Petros gagal menyatakan mana-mana undang-undang relevan bagi menyokong perintah yang dipohon kepada mahkamah. PDA 1974, DGO 2016 dan Akta Kontrak 1950 tidak dinyatakan dalam intitulement OS,” katanya.
“Mahkamah tidak berhak memutuskan sesuatu perkara yang tidak dipohon dalam pliding," tambah Hakim.
Hakim turut menambah Petros tidak meminda relif yang dipohon walaupun berlaku perubahan keadaan, dan juga tidak memohon pengisytiharan bahawa Sarawak GSA adalah tidak sah di bawah DGO, bahawa DGO terpakai ke atas PETRONAS, atau bahawa PDA tidak mengatasi DGO di bawah Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 75 menetapkan keutamaan undang-undang Persekutuan ke atas undang-undang negeri, di mana mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras adalah terbatal setakat ketidakselarasan tersebut.
Selain itu, mahkamah turut menegaskan Petros tidak menyatakan peruntukan undang-undang relevan dalam saman pemula (OS), sekali gus menjejaskan bidang kuasa mahkamah untuk membuat keputusan terhadap perkara yang tidak dipohon dalam pliding.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac lalu telah memberikan kebenaran kepada PETRONAS untuk mencabar keabsahan beberapa undang-undang negeri Sarawak.
Langkah itu membuka laluan kepada mahkamah tertinggi negara untuk meneliti isu perlembagaan yang sebelum ini tidak diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi.
Antara undang-undang yang menjadi pertikaian termasuk DGO 2016, Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 serta Ordinan Tanah Sarawak berkaitan penyimpanan karbon.
Pada masa sama, kerajaan Sarawak turut memfailkan petisyen berasingan bagi mencabar kesahan PDA 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
Dengan prosiding undang-undang yang berjalan serentak ini, Mahkamah Persekutuan dijangka menjadi penentu utama terhadap isu perlembagaan berkaitan pengawalseliaan gas di negara ini. - DagangNews.com








