Petronas tetap hormati segala kontrak termasuk Petros di Sarawak, PM Anwar beritahu Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas tetap hormati segala kontrak termasuk Petros di Sarawak, PM Anwar beritahu Parlimen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Feb — Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan terus menghormati semua obligasi kontrak sedia ada, termasuk dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang berperanan sebagai pengumpul petroleum dan gas asli yang tunggal di negeri itu.
 

Demikian dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa syarikat minyak milik negara itu malahan tetap mengekalkan segala perjanjiannya yang dimeterai sama ada di dalam dan di luar negara.
 

Ini tambahnya, selaras dengan aspirasi kerajaan pusat menyokong Sarawak melibatkan diri dalam sektor itu di negeri tersebut, bahkan Petronas dan Petros akan bergerak ke hadapan sebagai rakan kongsi demi melindungi kepentingan negara dan Sarawak.
 

"Perkara ini juga antara persetujuan dicapai bersama antara kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak, selaras dengan semangat federalisme dan Perjanjian Malaysia 1963" kata Anwar sambil menyokong aspirasi Sarawak untuk melibatkan diri dalam aktiviti itu.

 

Beliau menambah, ia sejajar dengan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac ini, dan dibaca bersama Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, dengan Petros akan bertindak sebagai operator tunggal di Sarawak.

 

Peranan ini ujar Anwar, bakal mengesahkan kelulusan sebelum ini yang diberikan kepada Petronas dan anak-anak syarikatnya manakala Petros, di bawah DGO, dijamin akses gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak.

 

"Malahan sekiranya ada bekalan tambahan, ia dijamin mengikut keperluan. Petros juga akan mempunyai kuasa untuk mengembangkan aktivitinya dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas," katanya semasa sesi penerangan menteri tersebut.
 

Isu kebimbangan pertindihan fungsi itu timbul apabila Petros dilantik sebagai aggregator atau syarikat pengumpul tunggal bahan bakar fosil itu untuk Sarawak sejak 1 Februari tahun lepas, berikutan pindaan kepada DGO negeri itu pada 2016.
 

Kemudian pada Januari lalu, Anwar memberitahu media bahawa isu mengenai hak pengagihan bekalan tersebut di Sarawak antara Petronas dan Petros telah diselesaikan selepas pertemuannya dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
 

Beliau bahkan menegaskan, segala undang-undang yang termaktub di bawah PDA 1974 masih terus diterima sebagai rangka kerja secara menyeluruh negara bagi aktiviti tadbir urus berkaitan dengan industri minyak dan gas.
 

"Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 tidak boleh menggantikan PDA 1974, Perlembagaan Persekutuan, atau undang-undang persekutuan yang lain," tambahnya sebagai menjelaskan kekeliruan berhubung isu pengagihan peranan tersebut.

 

Pada masa yang sama, Anwar, selaku Menteri Kewangan, berkata adalah penting bagi kedua-dua Petronas dan Petros untuk menekankan kerjasama mereka bagi memastikan pertumbuhan secara berterusan dan sejajar dengan semangat federalisme.

 

Justeru tambahnya, walaupun Petronas memenuhi mandat negara dengan menjadi antara syarikat gergasi dalam industri petroleum global dan penjana pendapatan utama negara selama hampir setengah abad, terdapat keperluan untuk mengukuhkan persefahaman bersama dengan kemunculan Petros.

 

Berikutan itu, beliau berkata bahawa kedua-dua syarikat tersebut akan bergerak ke hadapan sebagai rakan kongsi, demi memastikan perlindungan kepentingan dan manfaat yang dinikmati negara dan Sarawak.

 

"Semua rundingan terperinci selanjutnya akan mengekalkan faedah dan kepentingan bersama, dengan mematuhi prinsip komersial. Ini adalah persetujuan yang telah dicapai."

 

Anwar juga menyatakan bahawa sedikit pelarasan telah dilakukan untuk mencerminkan sumbangan Sarawak yang semakin meningkat kepada industri minyak dan gas negara serta mengiktiraf peranan Petros dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri itu.

 

Beliau seterusnya menekankan mengenai kesan ketara jangka panjang industri minyak dan gas Sarawak, sambil menyatakan bahawa pelaburan dalam aktiviti huluan dan infrastruktur telah melebihi RM50 bilion sejak 1976.

 

“Dianggarkan RM90 bilion kontrak telah dibelanjakan sepanjang dekad lalu, dari 2014 hingga 2024. Selain itu, Sarawak juga telah memperoleh lebih RM40 bilion kontrak melalui vendor berdaftar dalam tempoh ini," katanya.

 

Dari segi kewangan pula ujarnya, Sarawak menyaksikan pulangan yang luar biasa, dengan bayaran tunai mencecah RM49 bilion setakat Disember tahun lepas dan hasil cukai jualan berjumlah RM66 bilion menjelang suku ketiga 2024.

 

Begitu juga dividen sebanyak RM28.6 bilion yang telah diperoleh melalui pegangan saham Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dalam kumpulan syarikat MLNG.

 

Sementara itu, Anwar turut memuji Petronas atas sumbangan besarnya kepada pembangunan modal insan di Sarawak, termasuk pelaburan lebih RM600 juta dalam usaha pembangunan modal insan dan pendidikan sejak 10 tahun lalu.

 

Beliau juga menekankan bahawa sokongan Petronas adalah penting dalam pembangunan ekonomi negara, berikutan kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.

 

"Oleh itu, sambil kami terus membangunkan industri minyak dan gas Sarawak, kami terus komited untuk memastikan kedua-dua Petronas dan Petros bekerjasama demi kepentingan terbaik negara dan negeri."  - DagangNews.com