PETRONAS, Terengganu teroka projek alam semula jadi bagi mengurangkan pelepasan karbon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS, Terengganu teroka projek alam semula jadi bagi mengurangkan pelepasan karbon

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 April – PETRONAS dan kerajaan negeri Terengganu melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka projek pembangunan berasaskan pendekatan alam semula jadi (NbS) di negeri tersebut.

 

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan mengenal pasti serta menilai beberapa kawasan berpotensi di seluruh Terengganu untuk melaksanakan projek karbon berasaskan alam semula jadi yang mematuhi piawaian pensijilan antarabangsa.

 

Projek berkenaan dijangka mampu menjana kredit karbon berkualiti tinggi di samping memberikan impak positif kepada komuniti setempat serta menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar secara berterusan.

 

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Alam Semula Jadi dan Kelestarian Korporat PETRONAS, Giulia Sartori dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.

 

Menurut Giulia, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen PETRONAS dalam memperkukuh agenda kelestarian melalui pendekatan yang memberi manfaat bersama antara syarikat dan negeri.

 

“PETRONAS berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Terengganu dalam melaksanakan inisiatif yang mampu meningkatkan daya tahan iklim, memelihara biodiversiti serta menyokong kesejahteraan komuniti tempatan.

 

“Usaha ini juga selaras dengan peranan jangka panjang PETRONAS di Terengganu selain menyokong aspirasi Malaysia ke arah mencapai sasaran iklim negara,” katanya.

 

Sementara itu, Mohd Azmi berkata Terengganu memiliki kekayaan ekosistem semula jadi yang luas dan berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai projek penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

 

“Kerjasama dengan PETRONAS diharap dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon negara sambil memastikan manfaat pemuliharaan alam dapat dinikmati oleh rakyat negeri secara berpanjangan,” katanya. - DagangNews.com