KUALA LUMPUR 12 Nov – PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Energy Guyana Sdn Bhd (PEGSB), menandatangani Perjanjian Petroleum (PA) bagi Blok S4 di perairan cetek Guyana.
Menurut kenyataan syarikat petroleum kebangsaan itu, langkah pemeteraian berkenaan secara rasmi menandakan penyertaan pertama kali di negara kecil pantai utara benua Amerika Selatan tersebut.
Ia dimeterai Kerajaan Guyana, serta rakan konsortium, TotalEnergies EP Guyana Shallow SAS dan QatarEnergy, yang bersama-sama memenangi bidaan blok itu dalam Pusingan Lesen Guyana 2022.
"Di bawah perjanjian itu, PETRONAS memegang 25% kepentingan penyertaan, manakala QatarEnergy memiliki 35% dan TotalEnergies dengan 40% bertindak sebagai pengendali Blok S4," katanya.
Kawasan berkenaan jelasnya, berkeluasan kira-kira 1,787 kilometer persegi dan terletak secara strategik di sepanjang laluan migrasi hidrokarbon yang utama dalam Lembangan Guyana–Suriname.
Lokasi blok tersebut juga kata PETRONAS, diiktiraf oleh pelbagai pihak sebagai antara wilayah kaya dengan eksplorasi sumber mineral terutama petroleum yang dinilai paling pesat berkembang di dunia.

Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi PETRONAS, Faisal Bakar, berkata penyertaan tersebut melakar bab baharu dalam perjalanan pertumbuhan global PETRONAS, khususnya di rantau Amerika.
“Penyertaan kami di lembangan tersebut menandakan bab penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsa PETRONAS sendiri.
"Dengan pendekatan berdisiplin, kami komited untuk merealisasikan potensi besar lembangan ini serta mencipta nilai mampan kepada para pemegang kepentingan,” katanya.
Majlis pemeteraian PA diadakan di Georgetown, Guyana, disaksikan oleh Menteri Bertanggungjawab ke atas Petroleum Guyana, Vickram Bharrat, selain wakil PETRONAS, TotalEnergies dan QatarEnergy.
Langkah strategik ini jelas beliau, memperkukuhkan lagi kehadiran PETRONAS di benua Amerika serta meneguhkan kedudukannya sebagai pemain tenaga global berdaya saing.
Kenyataan itu menambah, usaha berkenaan juga selaras dengan aspirasi syarikat untuk terus memperluas portfolio huluan di wilayah berpotensi tinggi. - DagangNews.com








