PETRONAS tanggung beban RM14.8 bilion susulan kerugian terkumpul PRefChem | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS tanggung beban RM14.8 bilion susulan kerugian terkumpul PRefChem

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 1 Sept - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) berdepan tekanan terhadap margin keuntungan selepas mengiktiraf lebih RM14 bilion kerugian terkumpul yang sebelum ini belum diiktiraf daripada usaha sama hiliran yang bakal diambil alih sepenuhnya.

 

Kesan bukan tunai itu memberi tekanan ketara terhadap keuntungan bersih PETRONAS walaupun syarikat minyak dan gas negara berkenaan mencatatkan hasil lebih tinggi.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H26), margin keuntungan selepas cukai (PAT) PETRONAS susut kepada 17.8% daripada hampir 20% pada 1H25.

 

 

 

 

 

Usaha sama hiliran berkenaan merujuk kepada Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd, yang secara kolektif dikenali sebagai PRefChem.

 

PRefChem yang mencatatkan kerugian dan terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor merupakan usaha sama 50:50 antara PETRONAS dan Saudi Aramco.

 

PETRONAS sedang mengambil alih kepentingan Saudi Aramco dalam PRefChem dan penyempurnaan pemindahan saham itu dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini.


 

PRefChem

 


Margin PAT masih mengatasi purata syarikat setara

Walaupun berdepan tekanan terhadap margin, PETRONAS berkata margin PAT berkenaan masih sejajar dengan syarikat setara dalam industri.

 

Malah, margin PAT 1H26 adalah lebih tinggi daripada purata kumpulan syarikat setara, menurut PETRONAS.

 

Kumpulan perbandingan itu terdiri daripada BP, Chevron, ConocoPhillips, Eni, Equinor, ExxonMobil, PTT, Saudi Aramco, Shell dan TotalEnergies.

 

Jumaat lalu, PETRONAS berkata ia mencatatkan “prestasi separuh pertama yang berdaya tahan”, sekali gus menekankan keupayaannya memastikan keterjaminan tenaga ketika berdepan landskap tenaga global yang tidak menentu.

 

Hasil meningkat 15% tahun ke tahun kepada RM152.4 bilion pada 1H26, didorong pengeluaran domestik yang lebih tinggi, peningkatan jumlah jualan gas asli cecair (LNG) dan gas diproses serta harga purata direalisasi yang lebih baik.

 

Keuntungan selepas cukai meningkat 4% tahun ke tahun kepada RM27.2 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM56.8 bilion daripada RM54.4 bilion pada 1H25.

 

Item bukan tunai berjumlah RM14.8 bilion

EBITDA meningkat 4% tahun ke tahun, terutamanya didorong hasil yang lebih tinggi, namun sebahagiannya diimbangi beberapa item bukan tunai tertentu yang dikenal pasti berjumlah RM14.8 bilion.

 

Menurut PETRONAS, item bukan tunai itu merangkumi pengiktirafan bahagian kerugian terkumpul sebuah usaha sama yang sebelum ini belum diiktiraf, susulan suntikan ekuiti tambahan yang dibuat dalam tempoh berkenaan.


 

solar

 


Suntikan itu merupakan sebahagian daripada transaksi yang dilaksanakan PETRONAS bagi meningkatkan penjajaran operasi dan fleksibiliti di sepanjang rantaian nilai PRefChem.

 

PETRONAS berkata langkah berkenaan menyokong komitmennya terhadap keterjaminan tenaga Malaysia serta pengukuhan kerjasama antarabangsa yang membantu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara tenaga progresif.

 

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan daripada pelupusan dan pencairan kepentingan, terutamanya hasil pencairan kepentingan penyertaan kumpulan dalam aset tertentu serta pelupusan beberapa anak syarikat sebagai pertukaran kepada kepentingan ekuiti dalam sebuah syarikat usaha sama huluan yang baharu ditubuhkan,” kata PETRONAS.

 

Aliran tunai daripada operasi kekal stabil pada RM47.5 bilion, walaupun sedikit lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan aliran keluar modal kerja.

 

Capex melonjak kepada RM41.4 bilion

Perbelanjaan modal (capex) melonjak kepada RM41.4 bilion berbanding RM17.7 bilion pada 1H25, didorong aktiviti penerokaan dan pembangunan huluan serta suntikan modal tambahan ke dalam usaha sama PRefChem, menurut PETRONAS.

 

Daripada jumlah capex RM41.4 bilion itu, kira-kira 78% dilaburkan di Malaysia. Mengikut segmen, kira-kira 63% capex bagi 1H26 adalah untuk perniagaan hiliran.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata keutamaan PETRONAS adalah untuk “memastikan keterjaminan tenaga bagi mereka yang kami berkhidmat”, sambil menekankan pelaburan strategik untuk memperkukuh daya tahan portfolio.

 

“PETRONAS memanfaatkan kekuatan portfolio bersepadu kami dan mempergiatkan usaha di sepanjang rantaian nilai bagi memastikan bekalan tenaga tanpa gangguan kepada Malaysia dalam kapasiti kami sebagai syarikat minyak nasional.


 

Tan Sri Tengku Muhammad Taufik
Tan Sri Tengku Muhammad Taufik


 

“Walaupun berdepan cabaran semasa, PETRONAS terus mengekalkan disiplin kewangan dan operasi, sambil mengukuhkan kedudukan huluan, memperluaskan nod bekalan LNG serta meningkatkan penawaran tenaga baharu kami.

 

“Usaha ini menyumbang kepada prestasi kewangan yang berdaya tahan dalam tempoh dikaji, yang dicapai dalam persekitaran ketidaktentuan dan turun naik berpanjangan.

 

“Komitmen kumpulan kekal teguh dalam usaha menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, mencapai pertumbuhan mampan, di samping berusaha mengukuhkan kedudukannya dan mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan,” katanya.

 

Pengeluaran huluan 2.34 juta boe sehari

Dari segi operasi, PETRONAS mencapai beberapa pencapaian penting.

 

Purata pengeluaran huluan adalah sebanyak 2.34 juta tong setara minyak (boe) sehari, sedikit lebih rendah berikutan pengoptimuman portfolio dan gangguan berkaitan konflik, namun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan ketersediaan gas.

 

Kumpulan itu merekodkan tujuh pengeluaran hidrokarbon pertama, 18 keputusan pelaburan akhir dan tiga penemuan penerokaan, termasuk di Suriname dan Indonesia.

 

Antara perkembangan utama ialah penubuhan Searah Ltd bersama Eni dari Itali, melibatkan 19 aset di Malaysia dan Indonesia dengan pengeluaran mampan sebanyak 500,000 boe sehari.


 

Searah

 


Dalam segmen gas dan maritim, jualan LNG meningkat 17% tahun ke tahun kepada 20.29 juta tan dalam tempoh berkenaan, disokong oleh perjanjian bekalan jangka panjang baharu dengan rakan niaga Jepun dan Korea Selatan serta perjanjian jual beli LNG dengan QatarEnergy bagi memperkukuh keterjaminan tenaga Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

Operasi hiliran memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan bekalan ketika konflik di Asia Barat, manakala Petronas Chemicals Group Bhd dan Petronas Dagangan Bhd bekerjasama rapat dengan kerajaan serta pemain industri bagi memastikan bekalan bahan mentah dan bahan api.

 

Gentari, cabang tenaga bersih PETRONAS, meningkatkan portfolio tenaga boleh diperbaharui kepada 9.1 gigawatt, memperluaskan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di seluruh Asia Tenggara dan India serta meneruskan inisiatif hidrogen, termasuk projek demonstrasi bersama IHI Corp bagi turbin berkuasa ammonia. - DagangNews.com