KUALA LUMPUR 1 April – PETRONAS sedang merancang untuk mempercepatkan suntikan karbon dioksida (CO2) pertama bagi projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di medan gas Kasawari, luar pesisir Sarawak, seawal 2027.
Ia lebih awal berbanding unjuran sebelumnya iaitu pada 2029 atau 2030 dan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan jejak pelepasan karbon kumpulan tersebut.
Ketua Pengurusan Karbon PETRONAS, Emry Hisham Yusoff berkata rancangan itu, yang masih pada peringkat awal perbincangan, mengambil kira bahawa medan gas tersebut mula beroperasi pada Ogos 2024.
Beliau berkata Kasawari dibangunkan sebelum PETRONAS merumuskan komitmennya untuk mencapai sifar pelepasan karbon, menyebabkan terdapat jurang antara pengeluaran dan perancangan pengurusan karbon.
“Apabila Kasawari dibangunkan, PETRONAS belum membuat komitmen karbonnya. Semasa peringkat fabrikasi, kami menetapkan sasaran pelepasan karbon sifar dan menyedari medan ini akan mengeluarkan CO2. Jadi kami perlu menanganinya.
“Terdapat jurang antara pengeluaran dan kesediaan suntikan, termasuk mengenal pasti medan yang sesuai untuk penyimpanan CO2. Kini Kasawari sedang beroperasi dan pelepasan telah bermula. Kami sedang cuba mempercepatkan usaha untuk menangkap dan menyuntik CO2 secepat mungkin,” katanya.
Emry Hisham berkata demikian kepada wartawan apabila ditanya mengenai projek CCS di medan gas Kasawari di luar persidangan Offshore Technology Conference Asia (OTC Asia) di sini hari ini.
Beliau berkata PETRONAS menyasarkan untuk menangkap 3.3 juta tan setahun CO2 untuk suntikan di bawah projek CCS tersebut.
Medan gas Kasawari dijangka akan mengintegrasikan salah satu projek CCS luar pesisir terbesar di dunia bagi menguruskan tahap CO2 yang tinggi, dan telah memulakan operasi pada kira-kira 200 juta kaki padu sehari, dengan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran bagi menyokong bekalan gas asli cecair (LNG).
Emry Hisham berkata PETRONAS sedang menunggu bentuk akhir Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) sebelum menilai implikasi sepenuhnya terhadap industri, termasuk pelaksanaan obligasi iklim dan peraturan berkaitan karbon.
Awal bulan Mac lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata RUUPIN dijangka akan dibentangkan dalam sesi kedua Parlimen pada Jun 2026.
Rang undang-undang ini bertujuan menjadi undang-undang iklim khusus Malaysia, mewujudkan kerangka undang-undang bagi tadbir urus iklim, pengurusan pelepasan, pengawalseliaan pasaran karbon, serta pelaporan dan pematuhan.
Emry Hisham juga menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pemuktamadan perjanjian dua hala antara Malaysia dengan negara lain bagi memudahkan pergerakan karbon merentas sempadan untuk projek CCS.
Beliau berkata Malaysia kini sedang mengadakan perbincangan dengan Singapura dan Jepun mengenai kemungkinan kerjasama, dengan rundingan bersama Singapura dilaporkan lebih maju.
Bagaimanapun, tiada perjanjian yang ditandatangani setakat ini, walaupun rundingan sedang dijalankan dan perjanjian dua hala antara negara diperlukan sebelum sebarang pemeteraian rasmi.
Sebelum itu, Emry Hisham turut menjadi panelis dalam sesi industri bertajuk "Scaling Decarbonisation and CCUS: Transforming Offshore Assets for Sustainable Energy Production.”
Dalam sesi tersebut, beliau berkata kejelasan polisi dan peraturan kekal menjadi kunci untuk membuka pelaburan CCS.
“Walaupun kerangka undang-undang sedia ada di Malaysia menyokong suntikan karbon dalam operasi petroleum, ia tidak merangkumi sepenuhnya penangkapan karbon dari fasiliti bukan petroleum seperti loji tenaga atau pemprosesan gas.
“Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 diperkenalkan untuk menangani jurang ini dan membolehkan aktiviti CCS, termasuk projek merentas sempadan.
“Perjanjian dua hala antara kerajaan masih diperlukan untuk memudahkan pergerakan karbon dan memastikan keselarasan dengan kerangka antarabangsa,” katanya.
Emry Hisham juga menyatakan bahawa liabiliti merupakan pertimbangan penting, dengan menyebut bahawa di bawah kerangka Malaysia, pemaju CCS dikehendaki memantau dan mengambil tanggungjawab ke atas tapak penyimpanan sekurang-kurangnya 10 tahun selepas penutupan sebelum memohon penyerahan kepada kerajaan, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia dan kemungkinan lanjutan. – BERNAMA








