PETRONAS sahkan rancangan pembangunan terminal pengegasan semula ketiga di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS sahkan rancangan pembangunan terminal pengegasan semula ketiga di Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Jun — Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengesahkan kumpulan berkenaan sedang berusaha untuk melaksanakan pembangunan terminal pengegasan semula yang ketiga di Malaysia.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, ia juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menangani jangkaan lonjakan permintaan elektrik.


Tambah syarikat minyak dan gas milik kerajaan itu, pihaknya bersedia ke arah itu selaras dengan kemajuan pesat pusat data berintensif tenaga serta potensi keperluan masa depan terhadap gas asli cecair (LNG).


"Kami, dan saya fikir hasrat ini sendiri telah dicerminkan dalam rancangan kerajaan, berusaha untuk membina lengkap terminal pengegasan semula yang ketiga," kata beliau pada sidang akhbar hari ini.


Terdahulu sumber dilaporkan menggambarkan Petronas akan membina terminal pengegasan yang ketiga di negara ini dalam usaha memastikan jaminan keselamatan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.


Malaysia ketika ini sudah memiliki dua terminal pengegasan semula masing-masing di Sungai Udang, Melaka, dan Pengerang, Johor dengan PETRONAS ada kepentingan melalui Petronas Gas Berhad.


Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata, keperluan permintaan gas di Semenanjung Malaysia semakin meningkat, dengan pergantungan kepada LNG yang diimport turut dijangka bertambah pesat.


Bagaimanapun, kumpulan itu mengekalkan kedudukan yang menguntungkan di Sabah dan Sarawak untuk mengeksport LNG kepada rakan kongsi jangka panjangnya sebagai jaminan keselamatan tenaga mereka.


Beliau justeru berkata, akan tiba masanya pengeluaran gas di Semenanjung Malaysia juga akan dapat mengatasi permintaan, yang kemudian membawa kepada keperluan untuk pengimportan lebih banyak LNG.


“Saya fikir, seiring dengan pembaharuan gas, kita boleh menjangkakan dalam empat atau lima tahun akan datang, akan ada pergantungan yang semakin meningkat kepada pengimportan LNG,” katanya.


Terminal pengegasan semula adalah asas kepada pengimportan gas asli dan bagi memastikan usaha pengangkutan yang menjimatkan, gas asli disejukkan kepada suhu bawah sifar darjah Celsius.


Langkah tersebut akan mengubah LNG menjadi bentuk cecair dan membolehkan isipadu kira-kira 600 kali lebih banyak dapat dihantar dengan lancar.


Sebaik sahaja LNG tiba di negara pengimport, terminal pengegasan semula akan mengewapkan LNG menjadi gas, yang membolehkan ia diedarkan di dalam negara melalui saluran paip gas. - DagangNews.com