KUALA LUMPUR 24 Jun — Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memilih 20 syarikat permulaan berpotensi tinggi di seluruh dunia untuk pelaksanaan edisi keempat program pemecut korporatnya, FutureTech.
Kumpulan itu berkata, usaha tersebut dilaksanakan bersama SP Setia Bhd, Bosch Business Innovations, Living Lab Ventures Indonesia dan bahagian usaha niaga korporat PTTEP, Xplor Ventures.
Tambahnya, syarikat-syarikat permulaan yang dipilih untuk program berkenaan terdiri dari Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat (AS).
Mereka akan ditugaskan untuk menumpukan usaha pembangunan rumusan pada masa depan kerja-kerja dan industri petroleum, peralihan tenaga, serta kemajuan dalam bahan kimia dan bahan.
Naib Presiden Kanan Strategi Korporat PETRONAS, Marina Md Taib berkata program itu terus mencipta peluang kerjasama korporat dan syarikat baharu, bertujuan memajukan kemajuan mampan merentas sektor.
"Kepelbagaian dan kekuatan teknologi dari kalangan peserta pada tahun ini turut menyerlahkan ekosistem inovasi yang semakin berkembang di rantau ini," kata beliau dalam satu kenyataan.
Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian telah disenarai pendek selepas dinilai berdasarkan faktor-faktor seperti kesediaan pasaran, kesesuaian strategik dan potensi dalam menangani cabaran semasa.
Selain 20 syarikat berkenaan, tiga pasukan daripada platform inovasi dalaman PETRONAS sendiri iaitu Petronas Innovation Garage dan SEEd.Lab, juga menyertai program tersebut. - DagangNews.com








