Petronas kembali sertai pasaran bon dolar, kumpul AS$5 bilion bagi tujuan korporat am | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas kembali sertai pasaran bon dolar, kumpul AS$5 bilion bagi tujuan korporat am

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kembali ke pasaran bon dolar Amerika Syarikat (AS) antarabangsa selepas empat tahun, bagi mengumpul AS$5 bilion (RM22.14 bilion) melalui terbitan tiga peringkat, dengan hasil diperuntukan untuk 'tujuan korporat am'.
 

Perkembangan itu menandakan terbitan bon minyak dan gas (O&G) terbesar di Asia sejak transaksi Petronas sebanyak AS$6 bilion (RM26.56 bilion) pada 2020 dan menjadi tawaran bon antarabangsa terbesar dari rantau ini sejak 2021.
 

Terbitan kali ini pula terdiri daripada AS$1.6 bilion (RM7.08 bilion) dalam nota matang 5.75 tahun, AS$1.8 bilion (RM7.96 bilion) dalam nota matang 10 tahun dan AS$1.6 bilion (RM7.08 bilion) dalam nota matang 30 tahun.


Nota 5.75 tahun itu dikeluarkan dengan kadar 4.95 peratus, berharga 90 mata asas (bps) melebihi hasil Perbendaharaan AS selama lima tahun.


Nota 10 tahun itu membawa kadar sebanyak 5.34 peratus, berharga 100bps melebihi hasil Perbendaharaan AS 10 tahun, manakala nota 30 tahun menawarkan kadar sebanyak 5.848 peratus, berharga 115bps melebihi hasil Perbendaharaan AS 30 tahun.


Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan berkata, urus niaga tersebut 'diterima baik' oleh para pelabur, dengan menarik buku pesanan puncak melebihi AS$17 bilion (RM75.26 bilion), mewakili lebihan langganan sebanyak 3.4 kali.


“Minat pelabur yang menggalakkan membolehkan Petronas memperketatkan harga sebanyak 30bps kepada 35bps daripada panduan penentuan harga awal kepada harga akhir, iaitu dinaikkan daripada AS$3 bilion (RM13.28 bilion) kepada saiz akhir AS$5 bilion (RM22.13 bilion),” katanya.


Sebaran kredit yang ketat sebanyak 10bps dicapai antara 5.75 tahun dan 10 tahun manakala 15bps antara 10 tahun dan 30 tahun.”


Nota 5.75 tahun itu disokong oleh pengurus aset dan pengurus dana pada 60 peratus, bank (28 peratus), insurans dan dana pencen (7 peratus), bank pusat dan dana kekayaan negara (2 peratus) serta pelabur lain (3 peratus).


Nota 10 tahun pula menyaksikan pengurus aset dan pengurus dana mengambil 62 peratus, bank (13 peratus), insurans dan dana pencen (20 peratus), bank pusat dan dana kekayaan negara (2 peratus), serta pelabur lain (3 peratus).


Nota 30 tahun itu disokong terutamanya oleh pengurus aset dan pengurus dana pada 71 peratus, dengan institusi rasmi dan firma insurans mengambil 26 peratus, manakala bank, bank swasta dan rumah sekuriti memegang baki 3 peratus.


Dari segi geografi, bon telah diedarkan merentasi pasaran global.


Pelabur di Asia mengambil 45 peratus daripada nota 5.75 tahun, AS (31 peratus) serta Eropah dan Asia Barat (24 peratus).


Nota 10 tahun itu menyaksikan peruntukan sebanyak 29 peratus di Asia, 54 peratus di AS serta 17 peratus di Eropah dan Asia Barat.


Nota 30 tahun itu diedarkan kepada 18 peratus pelabur di Asia, 54 peratus di AS, serta 28 peratus di Eropah dan Asia Barat.


JP Morgan dan Morgan Stanley bertindak sebagai penyelaras global bersama manakala HSBC, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan MUFG bertindak sebagai pengumpul buku bersama untuk tawaran pengeluaran.


JP Morgan, Morgan Stanley, HSBC, Maybank dan MUFG juga bertindak sebagai pengatur bersama dan peniaga untuk kemas kini nota jangka sederhana global. 


Terbitan ini mewakili kepulangan Petronas ke dalam pasaran bon dolar AS antarabangsa sejak tawaran bon sebanyak AS$3 bilion (RM13.28 bilion) pada April 2021. - DagangNews.com