KUALA LUMPUR 31 Mac - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menggesa orang ramai serta pemain industri agar mengelakkan pembelian panik dan aktiviti pengumpulan bahan api susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang semakin meruncing.
Dalam satu kenyataan semalam, syarikat minyak nasional itu menegaskan tindakan tidak terkawal berkenaan berpotensi memburukkan lagi tekanan terhadap keselamatan bekalan tenaga negara.
“Ketika tempoh dan skala sebenar konflik di Iran masih belum dapat dipastikan, PETRONAS menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap oleh semua pihak,” katanya.
Menurut PETRONAS, Malaysia masih terdedah kepada risiko gangguan bekalan global walaupun merupakan negara pengeluar minyak, memandangkan hampir 40% keperluan minyak mentah negara melalui laluan strategik di Selat Hormuz.
Sejak tercetusnya krisis tersebut, harga minyak mentah global dilaporkan meningkat hampir 40%, sekali gus memberi kesan rantaian kepada kos penghantaran, premium insurans serta logistik.
“Perkembangan ini memberi impak langsung kepada keselamatan bekalan bahan api Malaysia,” jelasnya.
Bagi menampung permintaan domestik yang melebihi bekalan tempatan, PETRONAS memaklumkan pihaknya sedang memanfaatkan rantaian nilai bersepadu untuk memastikan bekalan petrol dan diesel kekal mencukupi bagi menyokong hampir 50% keperluan pasaran sehingga Mei 2026.
“Baki keperluan akan terus dipenuhi oleh syarikat minyak lain yang beroperasi dalam negara,” tambahnya.
Dalam masa sama, PETRONAS berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan bagi mengurus sebarang potensi gangguan bekalan, di samping memastikan kestabilan sektor tenaga negara terus terpelihara.
Malaysia ketika ini mengawal harga runcit bahan api melalui mekanisme harga automatik, dengan subsidi bagi petrol RON95 dan diesel membantu mengekalkan harga pada kadar lebih rendah berbanding negara serantau.
Langkah itu, menurut PETRONAS, terus memainkan peranan penting dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup pengguna di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran tenaga global. - DagangNews.com








