PETRONAS Gas sasar perkukuh operasi domestik imbangi risiko gangguan bekalan global, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Gas sasar perkukuh operasi domestik imbangi risiko gangguan bekalan global, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 April — Risiko gangguan rantaian bekalan global susulan ketegangan geopolitik, mendorong PETRONAS Gas Berhad (PGB) proaktif dalam memperkukuh operasi dan logistik domestiknya.


MBSB Research berkata, antaranya menerusi kontrak terbaharu perkhidmatan pengurusan logistik selama tempoh tiga tahun yang melibatkan Pakej A (Utara), kepada anak syarikat Steel Hawk Berhad.


Ujar firma penyelidikan tersebut, tender itu berkuat kuasa dari 10 April 2026 hingga 9 April 2029 melibatkan penyediaan sokongan logistik secara 'call-out basis', iaitu berdasarkan keperluan operasi semasa.


"Steel Hawk dipilih kerana memainkan peranan penting dalam perancangan tenaga kerja dan peralatan, pemantauan mobilisasi, nasihat teknikal serta penambahbaikan sistem dan infrastruktur," jelasnya.


Kontrak terkini tersebut kata MBSB Research, bukan sahaja mengukuhkan buku tempahan Steel Hawk, malah meningkatkan reputasinya dari segi kebolehpercayaan serta memperluas kehadiran dalam grid.


Pada masa sama, struktur kontrak secara panggilan itu dilihat memberi kelebihan kepada PGB kerana hanya perlu menanggung kos apabila perkhidmatan diperlukan, dan melindungi kedudukan kewangannya.

 

Petronas Gas_DagangNews


Tambahnya, dalam persekitaran ekonomi tidak menentu, mekanisme ini membolehkannya memaksimumkan kecekapan aset sedia ada yang semakin berusia dan menangguhkan perbelanjaan modal berskala besar.


"Bagaimanapun, kami memberi amaran risiko gangguan rantaian bekalan global masih wujud, khususnya melibatkan kenaikan kos alat ganti khusus dan peralatan berteknologi tinggi," jelas MBSB Research.


Tekanan harga daripada pembekal luar berpotensi meningkatkan kos ditanggung PGB, selain kekurangan komponen kritikal boleh menjejaskan kerja penyelenggaraan dan menyebabkan gangguan operasinya.


Dalam pada itu, kontrak tersebut dilihat sebagai langkah strategik oleh kumpulan PETRONAS sendiri bagi memastikan bekalan bahan api domestik adalah kekal stabil sepanjang separuh pertama 2026.


Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik, langkah PGB ini ujarnya, penting bagi memastikan pengagihan dan penyelenggaraan gas dalam negara kekal kukuh sekiranya gangguan luaran berterusan.


Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan penarafan 'neutral' dan harga sasaran (TP) pada RM19.25, sementara menunggu perkembangan lanjut keputusan kewangan suku pertama 2026. - DagangNews.com