KUALA LUMPUR 26 Sept – PETRONAS Gas Berhad (PGB) menunjukkan ketahanan operasi tinggi setelah berdepan insiden kebocoran gas berhampiran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), kejadian berlaku di Kerteh baru-baru ini bukan sahaja berjaya dikawal sepenuhnya, malah didapati tidak memberi sebarang impak kewangan yang ketara.
Berdasarkan kepada perkembangan positif itu, firma penyelidikan tersebut masih lagi mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham PGB dengan harga sasaran juga tidak berubah sebanyak RM18.40 sesaham.
"Unjuran ini berasaskan penilaian Diskaun Aliran Tunai (DCF) dengan andaian Kadar Purata Wajaran Kos Modal (WACC) 7.3% dan pertumbuhan jangka panjang sebanyak 2%," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, kes kebocoran pada minggu lalu itu melibatkan saluran paip gas butana, produk sampingan yang tidak pun memberi kesan langsung kepada bekalan gas metana di Semenanjung Malaysia.
Kawasan kejadian disahkan selamat dan PGB berusaha mendapatkan pengawalseliaan lebih besar ke atas pembangunan di sekitar laluan paip syarikat itu, termasuk menerusi pindaan perundangan berkaitan.
Insiden ini jelas firma itu, merupakan kebocoran gas utama kedua pada 2025, sekali gus menekankan keperluan bagi kawalan lebih ketat ke atas sebarang aktiviti pembangunan di zon penampan paip gas.
"Kami namun jangka sedikit tekanan terhadap keuntungan PGB bagi tahun kewangan 2026, berikutan pelaksanaan fasa terakhir langkah penurunan tarif dalam segmen pengangkutan gas," kata Maybank IB.
Usaha berkenaan tambahnya, selaras dengan peralihan kepada kerangka peraturan berasaskan insentif (IBR) yang bermula sejak 2020 untuk menggalakkan syarikat tersebut meningkatkan kecekapan operasi.
Tambah firma berkenaan, peralihan nilai Aset Diatur (RAB) daripada nilai penggantian kepada kos sejarah dijangka menyebabkan pengurangan sekitar 4% dalam perolehan kasar bagi segmen tersebut.
Meskipun cabaran penurunan tarif membayangi prestasi jangka pendek, Maybank IB kekal optimis terhadap prospek jangka panjang PGB, terutama dengan kemungkinan terlibat dalam projek baharu.
"Pelaksanaan pelbagai kerja tambahan sedang giat dipertimbangkan oleh syarikat induk, PETRONAS, antaranya projek strategik yang dijangka memacu pertumbuhan masa depan," jelas firma tersebut.
Ini katanya, termasuk loji penggegasan ketiga di Lumut, Perak dengan berkemungkinan siap seawal tahun kewangan 2029 (FY29), selain usaha dalam bidang penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Di samping itu tambah Maybank IB, PGB dilihat berpotensi dalam projek penjanaan tenaga dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) yang berpotensi ketika permintaan tinggi atau bekalan terputus.
Dengan anggaran hasil dividen sekitar 4%, saham syarikat ini katanya, dijangka mendapat sokongan daripada pelabur jangka panjang yang mencari pulangan stabil di tengah ketidaktentuan pasaran.
"Meskipun memiliki kekuatan aliran tunai stabil, PGB juga perlu berwaspada terhadap apa-apa risiko penurunan tarif pengangkutan pada 2026 dan insiden keselamatan operasi," katanya. - DagangNews.com








