PETRONAS Gas meterai perjanjian jangka panjang akses jeti sokong pembangunan RGT-3 di Lumut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Gas meterai perjanjian jangka panjang akses jeti sokong pembangunan RGT-3 di Lumut

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Mei - PETRONAS Gas memeterai perjanjian jangka panjang bagi mendapatkan akses kepada kemudahan jeti untuk pengendalian kargo gas asli cecair (LNG), langkah yang dilihat penting dalam menyokong pembangunan terminal regasifikasi ketiga (RGT-3) syarikat itu di Lumut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perjanjian berkenaan dimeterai bersama Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd bagi penggunaan jeti secara jangka panjang dengan terma yang disifatkan selaras amalan pasaran semasa.

 

Menurut PETRONAS Gas, kedua-dua pihak dianggap sebagai pihak berkaitan berikutan pegangan saham tidak langsung di bawah Ministry of Finance Incorporated.

 

“Perjanjian ini sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperluaskan infrastruktur gas dan utiliti bagi memastikan kebolehpercayaan bekalan gas di Semenanjung Malaysia.

 

“Projek ini akan meningkatkan kapasiti dan fleksibiliti rangkaian bekalan gas untuk memenuhi permintaan tenaga negara yang terus berkembang,” katanya.

 

Sebelum ini, PETRONAS Gas mengumumkan cadangan pembangunan RGT-3 selepas menerima pemberitahuan daripada Kementerian Ekonomi, selain sedang menilai potensi kerjasama dengan rakan pembangunan strategik bagi projek berkenaan.

 

Terminal itu dijangka memulakan operasi komersial pada suku kedua 2029 dan akan dikawal selia menerusi sistem tarif berasaskan insentif.

 

RGT-3 bakal dibangunkan menggunakan kemudahan unit penyimpanan dan regasifikasi terapung (FSRU), membolehkan LNG disimpan serta diproses sebelum disalurkan ke sistem Peninsular Gas Utilisation melalui saluran paip.

 

Kemudahan itu direka dengan kapasiti penyimpanan sebanyak 170,000 meter padu dan kapasiti penghantaran regasifikasi sehingga 500 juta kaki padu standard sehari.

 

PETRONAS Gas berkata, pembangunan projek berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan pembiayaan hutang dan ekuiti.

 

Walaupun langkah itu dijangka meningkatkan tahap penggearan syarikat, kumpulan berkenaan tidak menjangkakan sebarang kesan material terhadap aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Ketika ini, PETRONAS Gas mempunyai kepentingan kawalan dalam dua terminal regasifikasi lain di negara ini iaitu RGT Sungai Udang di Melaka yang dimiliki sepenuhnya dengan kapasiti 500 mmscfd atau 3.8 juta tan setahun, serta pegangan 65% dalam RGT Pengerang di Johor Bahru berkapasiti 490 mmscfd atau 3.5 juta tan setahun. - DagangNews.com