PETRONAS Gas bangunkan terminal regasifikasi pertama berkonsepkan penyimpanan terapung di Lumut, sasar operasi 2029 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Gas bangunkan terminal regasifikasi pertama berkonsepkan penyimpanan terapung di Lumut, sasar operasi 2029

Terminal RGT di Melaka. - Foto kredit PETRONAS
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mei - PETRONAS Gas Berhad (PGB) akan membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak (RGT-3) berasaskan konsep Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU) bagi memperkukuh bekalan gas di Semenanjung Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PGB berkata syarikat itu telah menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Ekonomi Malaysia pada 30 April 2026 berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

 

Menurut PGB, pembangunan RGT-3 merupakan hasil penilaian teknikal dan komersial yang dijalankan berdasarkan unjuran permintaan dan bekalan gas di Semenanjung Malaysia.

 

“Syarikat sebelum ini telah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk membangunkan terminal LNG baharu di Lumut dengan sasaran mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada suku kedua 2029,” katanya.

 

Projek itu akan menampilkan penggunaan FSRU, menjadikannya yang pertama seumpamanya di Malaysia, dengan kemudahan penyimpanan dan proses regasifikasi LNG dilaksanakan di atas unit terapung tersebut.

 

Gas yang telah diproses akan disalurkan ke daratan melalui paip sambungan sebelum disepadukan ke dalam sistem Peninsular Gas Utilisation (PGU).

 

RGT-3 direka dengan kapasiti penyimpanan LNG sebanyak 170,000 meter padu serta keupayaan penghantaran regasifikasi sehingga 500 juta kaki padu standard sehari (MMscfd).

 

PGB berkata, kemudahan itu dijangka mampu menyokong tambahan keperluan gas bagi menjana kira-kira 3.5 gigawatt (GW) kapasiti loji janakuasa di Semenanjung Malaysia.

 

“Projek ini akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga dengan kadar tarif ditentukan menerusi mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” katanya.

 

Teroka Peluang Kerjasama Strategik

Dalam masa sama, PGB turut meneroka peluang kerjasama strategik dengan rakan kongsi berpotensi bagi membangunkan projek tersebut.

 

Mengulas lanjut, PGB berkata pembangunan RGT-3 selaras dengan strategi pertumbuhan syarikat sebagai penyedia infrastruktur gas dan utiliti, selain meningkatkan kapasiti serta fleksibiliti rangkaian bekalan bagi memenuhi keperluan tenaga negara yang semakin berkembang.

 

Dari segi risiko, syarikat memaklumkan projek berkenaan terdedah kepada cabaran lazim termasuk kelewatan pembinaan dan kelulusan, peningkatan kos akibat ketidaktentuan pasaran serta risiko pembiayaan.

 

Bagaimanapun, PGB menegaskan akan melaksanakan amalan pengurusan projek yang berhemah serta penglibatan aktif dengan pihak berkepentingan bagi mengurangkan risiko tersebut.

 

Dari sudut kewangan, projek itu tidak memberi kesan kepada modal terbitan dan berbayar serta pegangan saham utama syarikat.

 

Ia dijangka dibiayai melalui gabungan hutang dan ekuiti, dengan potensi peningkatan tahap penggearan kumpulan, namun tidak dijangka memberi impak material terhadap aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

PGB turut menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut. - DagangNews.com