PETRONAS, Enilive dan Euglena mulakan pembinaan loji biopenapisan baharu di Pengerang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS, Enilive dan Euglena mulakan pembinaan loji biopenapisan baharu di Pengerang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Nov – Pengerang Biorefinery Sdn Bhd, usaha sama antara PETRONAS, Enilive SpA (unit biofuel milik Eni dari Itali) dan Euglena Co Ltd dari Jepun menandakan satu detik penting dengan majlis pecah tanah pembinaan loji biopenapisan baharu di Pengerang Integrated Complex (PIC), Johor.


Loji berkapasiti 650,000 tan muatan boleh diperbaharui setahun itu akan menghasilkan Sustainable Aviation Fuel (SAF), Hydrogenated Vegetable Oil (HVO) dan bio-nafta, menggunakan bahan buangan seperti minyak masak terpakai, lemak haiwan dan sisa pemprosesan minyak sayuran. Operasi komersial dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2028.


Projek ini mencerminkan komitmen bersama ketiga-tiga syarikat untuk mempercepat peralihan tenaga dan memenuhi permintaan global terhadap bahan api bersih yang lebih mampu milik dan berdaya saing.


Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream PETRONAS, Datuk Sazali Hamzah berkata, pembangunan loji itu sejajar dengan strategi PETRONAS untuk memacu nyahkarbon dan memperkukuh rantaian nilai tenaga bio, selaras dengan aspirasi menjadi peneraju tenaga bersepadu global dalam dekad akan datang.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Enilive, Stefano Ballista, menyatakan bahawa loji di Pengerang merupakan langkah penting dalam mencapai kapasiti pengeluaran melebihi 5 juta tan setahun dan lebih 2 juta tan SAF menjelang 2030, sekali gus mempercepat penyakarbonan sektor pengangkutan.


Presiden dan Pengasas Euglena, Mitsuru Izumo, pula menegaskan bahawa projek ini adalah usaha global ke arah masa depan lebih mampan, di samping komitmen syarikat untuk terus melabur dalam penyelidikan mikroalga dan pembangunan biofuel berasaskan alga bagi menyokong penyelesaian tenaga bersih di rantau ASEAN.


Majlis pecah tanah tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han, serta dihadiri oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Darul Ta’zim, Datuk Ramlee A. Rahman.


Terletak secara strategik berhampiran laluan perkapalan antarabangsa, loji biopenapisan ini dijangka mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab tenaga mampan serantau, sekali gus menyokong agenda global ke arah ekonomi rendah karbon. - DagangNews.com