KUALA LUMPUR 3 Nov – PETRONAS dan firma tenaga Itali, Eni SpA menubuhkan usaha sama (JV) bernilai lebih AS$15 bilion (RM63 bilion) menggabungkan aset huluan dua pihak di Malaysia dan Indonesia.
Bagaimanapun, JV strategik itu, yang buat masa ini masih dinamakan sebagai 'NewCo', dijangka hanya dimuktamadkan pada 2026 dan akan dimiliki dengan sama rata iaitu 50:50 oleh PETRONAS dan Eni.
Entiti baharu itu akan beroperasi secara kewangan berdikari, dengan rancangan pelaburan intensif dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memperkukuhkan pengeluaran tenaga rantau Asia Tenggara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, kerjasama ini menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan huluan lebih cekap dan kos efektif.
“Perkongsian bersejarah ini menegaskan komitmen kami dalam membentuk masa depan tenaga yang lebih mampan serta meningkatkan daya saing operasi serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JV ini turut menandakan langkah pertama PETRONAS melaksanakan strategi 'model satelit' yang mewujudkan entiti bebas mengakses modal sendiri membiayai pertumbuhan dan menarik pelabur khusus.
Bagi Eni pula, ia adalah lanjutan daripada strategi sama yang pernah digunakan dalam JV terdahulu antaranya Var Energy di Norway, Azule Energy di Angola dan Ithaca Energy di United Kingdom.
NewCo itu akan mengurus 19 aset huluan terdiri 14 aset di Indonesia dan lima di Malaysia dengan kapasiti awal lebih 300,000 tong minyak sehari, serta sasaran 500,000 tong bagi jangka sederhana.
Pelaburan besar itu akan menyokong pembangunan sekurang-kurangnya lapan projek baharu serta penggerudian 15 telaga, yang melibatkan rizab ditemui sekitar tiga bilion tong minyak setara.
Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi berkata, JV itu mewujudkan sinergi dalam penerokaan, pengeluaran dan pengurusan aset, sambil memanfaatkan peluang pembangunan sedia ada di dua negara.
Kerjasama ini dimeterai ketika pasaran minyak global berdepan lebihan bekalan dan permintaan yang lemah, dengan harga penanda aras Brent susut lebih 13% setakat tahun ini. - DagangNews.com








