Petronas dijangka catat pendapatan rendah, didorong ketidaktentuan perbelanjaan, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas dijangka catat pendapatan rendah, didorong ketidaktentuan perbelanjaan, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) baru-baru ni mengumumkan keuntungan selepas cukai cuma RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), turun 31.7 peratus tahun ke tahun (YoY) daripada RM80.7 bilion pada FY23.
 

Kejatuhan tersebut disebabkan oleh faktor harga realisasi purata yang lebih rendah, perbelanjaan cukai yang lebih tinggi dan rizab terjemahan mata wang asing yang tidak menguntungkan berikutan langkah pelupusan kepentingannya dalam Engen Group Limited.
 

Pendapatannya turun 6.9 peratus YoY kepada RM320 bilion, didorong oleh harga tenaga yang lebih rendah walaupun jumlah jualan lebih tinggi namun Petronas masih mengeluarkan RM32 bilion dividen kepada kerajaan Malaysia, turun daripada RM40 bilion pada FY23.
 

Perbelanjaan modal (capex) untuk 2024 pula berjumlah RM54.2 bilion, yang mencerminkan peningkatan 3 peratus YoY, dengan 61 peratus diperuntukkan kepada operasi domestik.
 

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa capex mungkin menurun sebanyak 20 peratus pada 2025 kepada RM43 bilion, ekoran ketidaktentuan mengenai keutamaan perbelanjaan Petronas dan perbincangan dengan Petroliam Sarawak Berhad (Petros).
 

Berikutan pengumuman keputusan perolehan Petronas itu, beberapa firma penyelidikan kekal optimistik dengan berhati-hati mengenai sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia, meskipun dengan tumpuan kepada pilihan saham yang terpilih.
 

RHB Research, Maybank Investment Bank dan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menekankan, walaupun pendapatan kekal mencabar berikutan ketidaktentuan harga minyak mentah dan geopolitik berterusan, segmen kecil tertentu pula kekal menarik.
 

Cabaran utama yang dihadapi oleh sektor ini ialah ketidaktentuan dalam perbelanjaan modal oleh Petronas.
 

RHB Research memberi amaran, perbelanjaan modal Petronas mungkin menurun sebanyak 20 peratus pada 2025, dan berpotensi memberikan kesan kepada syarikat yang bergantung kepada projek baharu.
 

Bagaimanapun ujarnya, perkhidmatan berkaitan penyelenggaraan dijangka kekal stabil, memandangkan Petronas selama ini begitu mengutamakan aspek penyelenggaraan aset untuk mengekalkan kecekapan pengeluarannya.
 

Selain itu, ketegangan geopolitik dan dasar peralihan tenaga global terus mempengaruhi dinamik pasaran, menjadikan strategi pelaburan jangka panjang lebih kompleks. Begitu juga kemeruapan harga minyak mentah adalah satu lagi kebimbangan utama.
 

Harga minyak mentah Brent purata AS$80.76 (RM356.96) setong pada 2024, mencerminkan penurunan 2 peraus YoY, manakala harga koktel mentah Jepun turun 3 peratus YoY kepada AS$83.90 setong.
 

Ini menjejaskan keadaan margin jualan gas asli cecair dan petrokimia, serta menekan pendapatannya yang merentas rantaian nilai.
 

Walaupun begitu, pengeluaran minyak Malaysia dijangka kekal stabil, dengan medan luar pesisir yang sedia ada terus menghasilkan pada kapasiti hampir maksimum.
 

Peralihan struktur dalam industri juga memberikan risiko dan peluang. Peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui (RE) dan usaha penyahkarbonan telah memacu pelaburan dalam projek tenaga alternatif.
 

Petronas telah pun komited lebih RM6 bilion pada 2024 ke arah penyelesaian tenaga yang lebih bersih, memfokuskan pada hidrogen, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), dan boleh diperbaharui. - DagangNews.com