KUALA LUMPUR 27 April - Petronas Dagangan Bhd akan terus memberi keutamaan kepada kesinambungan bekalan minyak petrol meskipun prospek industri dijangka lebih mencabar dalam tempoh terdekat berikutan krisis di Timur Tengah.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, syarikat komited memastikan keperluan bahan api negara dipenuhi sambil mengekalkan daya tahan operasi dalam persekitaran global yang tidak menentu.
“Walaupun prospek industri dijangka mencabar dalam beberapa bulan akan datang, keutamaan kami kekal untuk memastikan bekalan bahan api domestik tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu baru-baru ini mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-44 syarikat, yang turut menyaksikan prestasi kumpulan disokong oleh operasi stabil, perniagaan teras yang kukuh serta peningkatan penggunaan digital.
Menurut Azrul, Petronas Dagangan akan terus menumpukan kepada pengukuhan perniagaan teras, memperluas penggunaan digital serta memperkukuh agenda kelestarian bagi memastikan daya tahan jangka panjang.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), syarikat merekodkan jumlah jualan sebanyak 17.1 bilion liter dengan keuntungan bersih RM1.14 bilion.
Kumpulan turut mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 112 sen sesaham, termasuk dividen khas, mencerminkan nisbah pembayaran 100%.
Prestasi itu didorong oleh permintaan runcit yang stabil serta sumbangan lebih tinggi daripada segmen komersial, khususnya bahan api penerbangan.
Dalam aspek pendigitalan, aplikasi Setel terus menjadi pemacu utama dengan lebih 11 juta pengguna berdaftar, sekali gus mempercepatkan transaksi tanpa tunai serta menyokong pelaksanaan rangka kerja subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) di seluruh negara.
Selain itu, Petronas Dagangan turut mencatat pencapaian dalam agenda kelestarian apabila berjaya menghasilkan bahan api penerbangan mampan campuran tempatan pertama yang diperakui mengikut piawaian antarabangsa.
Lebih 300 stesen runcitnya kini dilengkapi dengan pemasangan solar bagi mengurangkan pelepasan karbon, di samping inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti.
Secara keseluruhan, syarikat dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran industri, disokong oleh asas perniagaan yang stabil serta strategi pertumbuhan berteraskan digital dan kelestarian. - DagangNews.com








