KUALA LUMPUR 24 Feb — PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) yang paling tinggi sejak 2021 apabila menutup tahun kewangan 2025 dengan mencecah RM1.14 bilion.
Ia didorong peningkatan jualan bahan api serta penggunaan platform digital yang lebih meluas, manakala bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Disember 2025, hasil diperoleh sebanyak RM10.6 bilion.
Angka itu meningkat 18% berbanding 4QFY24, disumbang kenaikan 8% jumlah jualan berikutan permintaan tinggi bagi bahan api Jet A1 dan pertumbuhan berterusan Mogas susulan pelaksanaan program BUDI95.
"PAT suku itu melonjak kepada RM273.3 juta, naik RM12.9 juta tahun ke tahun (YoY), dan peningkatan permintaan berjaya mengimbangi pergerakan harga bahan api yang rendah," katanya dalam kenyataan.
Bagi tempoh 12 bulan, walaupun harga jualan purata kurang, hasil PDB meningkat 1% kepada RM38.3 bilion berbanding FY2024, manakala PAT naik kira-kira 2% atau RM19.9 juta kepada RM1.14 bilion.
Menurut syarikat bekenaan lagi, jumlah jualan tahunan turut mencatat rekod tertinggi apabila mencecah sebanyak 17.1 bilion liter, dipacu permintaan kukuh bagi Jet A1 dan diesel komersial.
PDB kini mengendalikan rangkaian terbesar menerusi 1,110 stesen di seluruh negara, dan divisyen komersialnya turut mencatat sejarah apabila menghantar bahan api penerbangan mampan (SAF) campuran.
"Ia produk tempatan pertama Malaysia serta memperoleh pensijilan ISCC CORSIA, manakala platform digital Setel memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program subsidi BUDI95," jelasnya lagi.
Usaha itu katanya, meningkatkan jumlah pengguna kepada 11 juta di seluruh negara, sementara dalam aspek kelestarian, syarikat sudah memasang sistem solar di 101 stesen bagi menyokong operasinya.
Dalam pada itu. inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai (UCO) pula diperluas ke 100 stesen, dengan mengumpul 749 tan dan menjana pulangan RM2.2 juta kepada lebih 332,000 penerima manfaat.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, FY25 merupakan tahun penting buat syarikat berkenaan dalam menyokong inisiatif nasional termasuk BUDI95.
"Memasuki 2026, kami optimis terhadap prospek pertumbuhan, termasuk perluasan segmen bukan bahan api melalui penawaran motosikal elektrik Blueshark dan restoran francais makanan segera," katanya.
Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026) jelasnya, dijangka merangsang permintaan penerbangan dan meningkatkan jualan bahan api jet apabila syarikat penerbangan memperluaskan operasi.
Seiring prestasi kukuh itu, PDB mengisytiharkan dividen interim 26 sen sesaham dan dividen khas 20 sen sesaham bagi 4QFY25, dengan jumlah dividen FY25 ialah 112 sen sesaham. - DagangNews.com








