KUALA LUMPUR 21 Mei - PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM427 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) berbanding kerugian RM730 juta pada suku sebelumnya, dipacu peningkatan harga produk, margin lebih kukuh serta kos operasi yang lebih rendah.
Kumpulan itu turut merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) sebanyak RM401 juta berbanding kerugian RM754 juta pada 4QFY25.
Hasil kumpulan meningkat 6% suku ke suku kepada RM7.02 bilion berbanding RM6.6 bilion sebelumnya, disokong harga purata lebih tinggi bagi produk komoditi serta prestasi jualan lebih baik dalam portfolio Specialty Chemicals.
EBITDA melonjak kepada RM1.18 bilion berbanding hanya RM115 juta pada suku sebelumnya, manakala margin EBITDA meningkat ketara kepada 16.7% daripada 1.7%.
Penyumbang Utama
Segmen Baja dan Metanol (F&M) menjadi penyumbang utama prestasi kumpulan apabila mencatat kadar penggunaan loji sebanyak 103%.
Harga purata urea meningkat kira-kira 18%, manakala metanol naik 13% berikutan bekalan global yang lebih ketat serta permintaan bermusim yang kukuh.
Hasil segmen itu meningkat kepada RM2.6 bilion dengan EBITDA melonjak 49% kepada RM1.1 bilion hasil peningkatan margin produk.
Sementara itu, segmen Olefin dan Derivatif (O&D) merekodkan kadar penggunaan loji sebanyak 87% susulan aktiviti penyelenggaraan berjadual di loji MTBE.
Walaupun begitu, hasil segmen masih meningkat 5% kepada RM2.9 bilion disokong harga purata produk yang lebih tinggi dan pertumbuhan jumlah jualan.
Kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) segmen itu turut bertambah baik kepada RM91 juta berbanding RM600 juta pada suku sebelumnya.
Portfolio Specialty Chemicals pula mencatat peningkatan hasil 17% kepada RM1.4 bilion dipacu pemulihan permintaan dan aktiviti pengisian semula stok pelanggan.
EBITDA segmen itu meningkat kepada RM198 juta hasil peningkatan jualan, penjualan hak pelepasan karbon oleh Perstorp serta inisiatif pengoptimuman kos yang berterusan.
Model Bersepadu Pastikan Bekalan Stabil
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, konflik di Timur Tengah telah mengubah landskap operasi PCG dengan pantas, mewujudkan persekitaran yang lebih tidak menentu dan kompleks.
Katanya, ia juga menonjolkan kelemahan rantaian bekalan industri memandangkan kepentingan strategik seperti bekalan bahan mentah dan bahan kimia global berada dalam rantau tersebut.
“Model bersepadu kami memastikan bekalan bahan mentah domestik yang stabil bagi operasi berasaskan gas di Malaysia melalui rangkaian saluran paip yang meluas, sekali gus membantu mengurangkan impak gangguan bekalan global.
“Peningkatan EBITDA mencerminkan kekuatan asas dan daya tahan model perniagaan kami, bersama penekanan berterusan terhadap kecemerlangan operasi dan komersial yang disokong pengurusan kos berdisiplin," katanya.
Beliau menambah, PCG terus melaksanakan semakan dan rasionalisasi portfolio bagi memastikan pelaburan, rantaian nilai dan penawaran produk kumpulan kekal kukuh serta sejajar dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah.
"Sepanjang suku tersebut, Kumpulan telah melupuskan pelaburan dalam sebuah subsidiari dan syarikat bersekutu yang menghasilkan jumlah keuntungan pelupusan sebanyak RM63 juta.
“Komitmen kami terhadap operasi yang selamat dan boleh dipercayai kekal teguh, khususnya ketika kami melaksanakan aktiviti penyelenggaraan berjadual di beberapa loji O&D di Kertih dan loji baja di Bintulu pada suku kedua,” katanya.
Prospek Masa Depan
Bagi prospek masa depan, PCG menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar berikutan perkembangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan permintaan hiliran yang masih perlahan.
Dalam segmen O&D, harga dijangka sederhana berikutan kekangan kemampuan yang menjejaskan permintaan daripada pengeluar hiliran.
Segmen baja pula dijangka terus disokong keutamaan keselamatan makanan global dan sekatan eksport di negara pengeluar utama, manakala bekalan metanol dijangka semakin ketat susulan aktiviti penyelenggaraan loji serantau yang dijadualkan.
Bagi segmen Specialties, Kumpulan kekal berhati-hati memandangkan pasaran akhir pembinaan dan automotif masih lembap, walaupun permintaan bagi barangan pengguna menunjukkan pertumbuhan sederhana.
Dalam keadaan itu, PCG kekal memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan komersial serta disiplin kewangan yang ketat bagi memastikan daya tahan dan daya saing berterusan sepanjang kitaran pasaran. - DagangNews.com








