KUALA LUMPUR 8 Dis – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) berdepan dengan prospek tidak menentu susulan lebihan kapasiti baharu di rantau ini, menurut Maybank Investment Bank.
Justeru firma penyelidikan tersebut masih lagi mengekalkan saranan 'jual' dan harga sasaran yang tidak berubah pada RM2.38 sesaham, disandarkan kepada 0.5 kali anggaran nilai buku pada FY26.
Selain itu, ia turut mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan petrokimia berkenaan dari tempoh FY25 hingga FY27, sambil menekankan bahawa risiko pendapatan mungkin adalah kekal ke arah penurunan.
"Walaupun ada syarikat Korea Selatan merancang menutup sehingga 3.7 juta tan setahun kapasiti ‘naphtha cracker’, langkah itu dinilai sebagai masih tidak mencukupi," kata Maybank IB dalam notanya.
Berdasarkan kajian oleh firma berkenaan sendiri, pasaran global sebenarnya memerlukan sekitar 25 juta tan kapasiti bahan tersebut yang perlu ditutup segera untuk mencapai keseimbangan bekalan .
Di China pula jelasnya, dasar pemerintahnya dijangka tidak akan memberi sebarang kesan signifikan kerana hanya 9% kapasiti di negara berkenaan yang akan melebihi usia 30 tahun menjelang 2029.
Tambahan pula kata Maybank IB, kapasiti baharu global pula dijangka meningkat secara ketara pada 2026, iaitu sekitar sembilan juta tan polietilena (PE) dan enam juta tan polipropilena (PP).
"PCG telah merekodkan margin keuntungan selepas cukai (PAT) segmen olefin dan derivatif (O&D) yang negatif selama lima suku berturut-turut, dipengaruhi oleh isu operasi," tambah firma berkenaan.
Dengan harga polimer yang terus menurun, ia menjangkakan margin kumpulan berkenaan kemungkinan jatuh lebih dalam, malahan dijangka tidak dapat merekodkan keuntungan bersih teras pada 4Q25.
Sementara itu, jelas Maybank IB, kemas kini penilaian alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) menunjukkan skor PCG susut sedikit sahaja kepada 64 daripada 100, berbanding 65 pada FY23.
Penurunan kecil ini disebabkan peningkatan intensiti pelepasan udara, namun diimbangi peningkatan penyertaan wanita dalam jawatan pengurusan serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Kami terus berhati-hati terhadap prospek sektor petrokimia, dengan lebihan kapasiti serantau dan global menjadi faktor utama menekan harga dan margin," kata firma tersebut. - DagangNews.com








