PETRONAS Carigali capai pengeluaran awal hidrokarbon di medan Bindu dari pesisir Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Carigali capai pengeluaran awal hidrokarbon di medan Bindu dari pesisir Terengganu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Ogos – PETRONAS Carigali Sdn Bhd berjaya mencapai pengeluaran pertama hidrokarbon dari medan Bindu, yang terletak 210 kilometer dari pesisir Terengganu, pada 9 Jun 2025.


Anak syarikat milik PETRONAS itu berkata, kejayaan dicapai hanya dua bulan selepas mengambil alih sebagai pengendali baharu kontrak perkongsian pengeluaran gas (GPSC) berkuat kuasa 1 April 2025.


Pencapaian berkenaan tambahnya, sekali gus menegaskan komitmen syarikat tersebut sendiri terhadap isu jaminan bekalan gas yang lebih selamat dan secara mampan untuk pasaran Semenanjung Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali, Hazli Sham Kassim berkata, ini membuktikan kesiapsiagaan operasi syarikat sebagai pengendali GPSC serta keupayaan teknikalnya dalam sumber gas domestik.


“Operasi GPSC kini membekalkan hampir 50% daripada permintaan gas Semenanjung Malaysia, merangkumi loji tenaga berskala industri serta para pengilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.


Pembangunan medan Bindu kata beliau, meliputi pembinaan platform kepala telaga baharu, yang dapat dihubungkan ke hab pengeluaran dikenali Guntong E menerusi saluran paip sepanjang 62 kilometer.


Menariknya, kedua-dua struktur atas dan bawah platform ini direka dan dibina sepenuhnya di dalam negara, serta dilengkapi sistem tenaga suria, yang sejajar dengan aspirasi kelestarian PETRONAS.


Medan ini merupakan komitmen pembangunan terakhir bagi projek hijau di bawah terma semasa GPSC dan dijangka mencapai kemuncak pengeluaran sehingga 75 juta kaki padu gas sehari menerusi dua telaga.


PETRONAS Carigali mengendalikan medan tersebut dengan pegangan kepentingan sebanyak 50%, manakala baki selebihnya dimiliki rakan usaha sama, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.


Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataannya menegaskan, PETRONAS Carigali terus komited dalam sektor huluan domestik dengan memacu pelbagai pelaburan strategik yang bersifat komersial.


"Syarikat ini juga terus mengekalkan tahap keselamatan, kecekapan dan kelestarian yang tinggi di semua aset kendaliannya," kata kumpulan petroleum negara tersebut. - DagangNews.com