KUALA LUMPUR 24 Dis – PETRONAS mengukuh kedudukan sebagai rakan bekalan gas asli cecair (LNG) dipercayai di Asia melalui kerjasama dengan CNOOC Gas and Power Singapore Trading & Marketing Pte Ltd.
Ia hasil pemeteraian perjanjian jual beli (SPA) jangka panjang, menerusi anak syarikatnya iaitu PETRONAS LNG Ltd, yang akan membekalkan sebanyak 1.0 juta tan metrik setahun (MTPA) LNG kepada CNOOC.
Kerjasama ini dibina atas hubungan sedia ada dan menyokong aspirasi agenda tenaga bersih China, termasuk sasaran 'Dual Carbon' di negara tersebut untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2060.
Naib Presiden PETRONAS LNG Marketing and Trading Shamsairi M Ibrahim berkata perjanjian tersebut turut mencerminkan peningkatan tahap hubungan strategik dijalin antara PETRONAS dan CNOOC sendiri.
"Perjanjian ini selari dengan komitmen bersama terhadap keselamatan tenaga dan masa depan karbon rendah serta menandakan pengukuhan hubungan kami dengan CNOOC," kata beliau dalam satu kenyataan.
SPA itu bukan sekadar sebagai pembekal LNG tetapi rakan jangka panjang dalam menyokong peralihan tenaga, dengan PETRONAS kekal komited membekalkan LNG yang boleh dipercayai dan lebih bersih.
Pada masa sama jelas Shamsairi, kumpulan tersebut bekerjasama rapat dengan rakan strategik dari luar negara bagi mencapai matlamat peralihan tenaga bersama yang bermanfaat dalam jangka panjang.
Perjanjian ini mengukuhkan lagi kedudukan PETRONAS sebagai rakan LNG utama kepada China, selain mencerminkan kerjasama berterusan dengan CNOOC dalam antara pasaran gas paling dinamik di Asia.
Seiring peningkatan permintaan bahan api karbon rendah, PETRONAS terus memanfaatkan portfolio LNG sedia ada yang kukuh bagi menyokong keperluan tenaga pelanggan semakin berkembang di benua ini.
Sebagai sebuah syarikat tenaga global dengan kehadiran di lebih 100 negara, PETRONAS kekal komited untuk memperluaskan banyak portfolionya merangkumi tenaga konvensional dan tenaga lebih bersih.
Di samping itu, kumpulan tersebut memastikan amalan operasi yang mampan serta menegaskan komitmen untuk memastikan peralihan ke arah masa depan karbon rendah dilaksanakan secara adil dan saksama.
Perkembangan berkenaan juga adalah selari dengan matlamat jangka panjangnya untuk memperkayakan kehidupan demi masa depan yang mampan. - DagangNews.com








