Petra Energy raih kontrak Vestigo bagi operasi lima medan minyak di luar pesisir Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petra Energy raih kontrak Vestigo bagi operasi lima medan minyak di luar pesisir Sarawak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 April – Petra Energy Berhad (PEB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petra Energy Development Sdn. Bhd.(PEDSB) memperoleh kontrak daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan pengurusan operasi medan (FOMS) di luar pesisir Sarawak.

 

Operasi di bawah kontrak ini meliputi kawasan luar pesisir Miri yang terdiri daripada lima medan pengeluaran utama, iaitu West Lutong, Baram, Tukau, Siwa dan Fairly Baram dalam blok SK407 PSC.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PEB berkata PEDSB menerima surat anugerah tersebut pada 27 Mac 2026,  menandakan satu lagi pencapaian penting dalam penglibatan kumpulan dalam sektor huluan minyak dan gas.

 

 

 

 

 

 

“Kontrak berkenaan berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028,” katanya.

 

Bagaimanapun, tiada nilai kontrak tetap dinyatakan dalam surat anugerah tersebut, lazimnya bergantung kepada skop kerja dan aktiviti operasi sepanjang tempoh perkhidmatan.

 

Menurut PEB, kontrak itu tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham serta pegangan pemegang saham utama syarikat dan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

 

Namun begitu, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

 

 

 

 

 

 

 

 

Syarikat turut memaklumkan bahawa risiko utama melibatkan aspek operasi dan pelaksanaan, namun langkah sewajarnya akan diambil bagi meminimumkan sebarang impak terhadap kelangsungan projek.

 

PEB turut merakamkan penghargaan kepada Vestigo Petroleum atas kepercayaan yang diberikan, sambil menyatakan penganugerahan kontrak ini mencerminkan pengukuhan peranan kumpulan dalam menyokong operasi dan penyelenggaraan aset huluan, selaras dengan penglibatannya dalam PSC Banang di Terengganu serta kontrak petroleum SK433 di Miri. - DagangNews.com