KUALA LUMPUR 27 Mei - PeterLabs Holdings Bhd mengumumkan, penggantungan tugas Pengarah Eksekutifnya, Datuk Loh Saw Foong, akan dilanjutkan sehingga siasatan dalaman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.
Syarikat itu berkata, Saw Foong, pada mulanya digantung tugas selama dua minggu bermula 13 Mei 2025.
"Syarikat memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggantungan tugas tersebut sehingga semua siasatan selesai.
"Sepanjang tempoh ini, tugas dan tanggungjawab Saw Foong akan diambil alih oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Lim Tong Seng," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Saw Foong juga merupakan Pengurus Besar Thye On Tong Trading Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PeterLabs yang mengedarkan barangan pengguna.
Pada 19 Mei lalu, PeterLabs memaklumkan SPRM menyerbu pejabat utama syarikat dan premis Thye On Tong selepas menerima aduan rasmi daripada syarikat berhubung dakwaan terhadap Saw Foong.
Beberapa dokumen dan fail berkaitan turut dirampas bagi membantu siasatan.
Beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah PeterLabs pada Januari 2021.
Walaupun butiran penuh salah laku belum didedahkan, PeterLabs memaklumkan, ia melibatkan dakwaan serius terhadap Saw Foong, termasuk salah laku, konflik kepentingan dan pelanggaran tanggungjawab sebagai pengarah.
Pada 15 Mei lalu, dua pemegang saham utama syarikat, Bu Yaw Seng dan Datin Lin Ching Yein, yang memiliki lebih 10% saham, memohon PeterLabs mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menyingkirkan tujuh pengarah dan menggantikan mereka dengan dua calon baharu.
Antara yang dicadangkan untuk digugurkan ialah Lim Tong Seng, Teo Chin Heng, Yap Siaw Peng, Datuk Lim Tai Soon, Datuk Ng Boon Siong, Ho Siew Li dan Ng Kau, iaitu pengarah ganti kepada Boon Siong. - DagangNews.com








