KUALA LUMPUR 22 April – Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) menjangka Kumpulan itu akan terus berdepan ketidaktentuan pasaran berikutan pemulihan ekonomi global yang tidak seimbang serta gangguan rantaian bekalan yang masih berlarutan.
Menurut syarikat itu, keadaan turut dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada aliran bahan mentah utama dalam industri kimia global.
Sehubungan itu, PetChem akan memberi tumpuan kepada pengukuhan disiplin operasi serta pengurusan modal yang lebih ketat bagi memastikan daya tahan perniagaan dalam persekitaran yang mencabar.
Pada masa sama, kumpulan itu akan terus melaksanakan inisiatif secara bersasar bagi memperkukuh portfolio perniagaan termasuk mengoptimumkan operasi teras sedia ada.
PetChem turut merancang untuk memperluaskan segmen bahan kimia khusus secara berperingkat selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang.
Selain itu, syarikat akan membuat pelaburan bersasar yang sejajar dengan perubahan permintaan pelanggan bagi memastikan daya saing kekal kukuh.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PetChem, Mazuin Ismail berkata keutamaan kumpulan adalah untuk kekal berwaspada serta memperkukuh asas operasi dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran.
Katanya, pendekatan berdisiplin itu penting bagi memastikan syarikat kekal berdaya tahan dalam tempoh jangka pendek dan bersedia untuk pertumbuhan lebih kukuh pada masa hadapan.
Beliau turut menegaskan PetChem akan terus mengutamakan bekalan kepada pasaran domestik bagi memastikan produk berkualiti tinggi sentiasa tersedia kepada pelanggan tempatan.
“Pelanggan boleh bergantung kepada kami untuk bekalan yang stabil dan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 syarikat itu.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, PetChem mencatat prestasi operasi yang stabil dengan kadar penggunaan loji sebanyak 88 peratus, disokong oleh pengurusan aset yang lebih cekap serta penambahbaikan operasi.
Kumpulan itu turut merekodkan peningkatan RM574 juta dalam EBITDA meskipun berdepan tekanan harga dan permintaan global yang lemah, dipacu oleh pengoptimuman bahan mentah, kebolehpercayaan loji serta kecekapan pengurusan operasi.
Sebagai mengimbangi prestasi tersebut, PetChem mengumumkan jumlah dividen sebanyak RM560 juta bagi tahun kewangan 2025, yang mencerminkan keseimbangan antara pulangan kepada pemegang saham dan keperluan mengekalkan fleksibiliti kewangan untuk pertumbuhan masa depan.- DagangNews.com








