Pesona Metro peroleh kontrak projek daripada Indo Aman di Damansara Avenue bernilai RM666 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pesona Metro peroleh kontrak projek daripada Indo Aman di Damansara Avenue bernilai RM666 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 SeptPesona Metro Holdings Berhad (PMHB) terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama sektor pembinaan tempatan apabila berjaya memperoleh kontrak bernilai RM666.0 juta.


Menurut kumpulan tersebut, ia melibatkan kerja-kerja pembinaan projek DA Central Mall dan menara pejabat The Arden serta dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pesona Metro Sdn Bhd.


Kontrak itu dianugerahkan oleh Indo Aman Bina Sdn Bhd iaitu subsidiari TA Global Berhad dan projek ini merupakan sebahagian pembangunan induk Damansara Avenue di Bandar Sri Damansara, Selangor.


"Kawasan itu berkeluasan hampir 20 hektar dengan Fasa 1A bagi projek baharu ini meliputi antaranya podium 14 tingkat, serta dua tingkat bawah tanah tempat letak kereta," kata PMHB dalam kenyataan.


Turut dibina ialah podium komersial 6 tingkat dan 5 tingkat, jejantas pejalan kaki ke Ativo Suites, Ativo Plaza dan Stesen MRT Sri Damansara Sentral serta laluan kenderaan ke Ativo Plaza.


Sementara fasa seterusnya jelas kumpulan berkenaan merangkumi menara pejabat setinggi 40 tingkat yang dikenali sebagai Blok 1, dan 4 tingkat kemudahan dari Aras 2 hingga 4, termasuk di bumbung.


PMHB berkata, tempoh pelaksanaan projek hartanah baharu tersebut ditetapkan selama 30 bulan, yang sudah bermula pada 18 September 2025 dan kerja-kerja dijadualkan siap menjelang 17 Mac 2028.


"Menerusi kontrak ini, buku tempahan syarikat berjaya melonjak kepada sebanyak RM2.6 bilion, yang paling tinggi dalam sejarah kumpulan kami sendiri," kata Pengarah Urusan PMHB, Wie Hock Beng.


Perolehan projek ini juga jelasnya, adalah pencapaian dan menegaskan kemampuan syarikat membina pembangunan komersial berskala besar serta memberi kejelasan hasil untuk tiga tahun akan datang.


PMHB kata beliau, turut mencatat prestasi kewangan menggalakkan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, dengan pendapatan RM174.8 juta, naik 53% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula RM14.5 juta iaitu lebih dua kali ganda daripada sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) mencecah RM12.4 juta, yang juga lebih dua kali ganda.


"Sumbangan hasil yang besar ini disokong oleh peningkatan bil pengebilan pembinaan dan keuntungan daripada anak syarikat pembangunan hartanah kumpulan kami, Gaya Kuasa Sdn Bhd," kata Hock Beng.


Menurutnya, permintaan terhadap perumahan bermutu kekal kukuh sejajar dengan pertumbuhan populasi negara dengan jurang bekalan struktur semasa dalam pasaran hartanah memberi prospek positif.


Sehubungan itu jelas beliau, PMHB bersedia memainkan peranan utama melalui kepakaran kami bagi membentuk komuniti yang mampan dan berdaya huni. - DagangNews.com