Peruntukan RM1.9 billion tarik perhatian syarikat pertahanan antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peruntukan RM1.9 billion tarik perhatian syarikat pertahanan antarabangsa

Sistem peluru berpandu HISAR buatan Türkiye.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 10 Dis - Perhatian firma pertahanan antarabangsa terarah ke negara ini berikutan persetujuan kerajaan meluluskan peruntukan bagi perolehan sistem pertahanan udara aras rendah (MRAD) untuk TUDM sebanyak RM1.9 bilion.

 

Jumlah tersebut dianggarkan cukup untuk membeli dua bateri sistem MRAD lengkap sebagai permulaan.

 

MRAD adalah komponen penting dalam pertahanan udara moden untuk menangkis ancaman serangan udara termasuk dron.

 

Sebagai satu sistem pertahanan udara yang canggih, MRAD bakal meletakkan keupayaan Malaysia setanding dengan negara-negara serantau.

 

Meriam
Sistem HISAR-A.
​​​​

 

Pembelian ini bukan hanya melibatkan peluru berpandu, tetapi juga sistem radar dan infrastruktur sokongan, yang diperlukan untuk melaksanakan misi pertahanan udara secara menyeluruh.

 

Berdasarkan maklumat industri, kontrak MRAD yang bakal diumumkan ini telah menarik minat beberapa firma pertahanan antarabangsa misalnya dari Türkiye, China dan Eropah.

 

Dengan peruntukan RM1.9 bilion, TUDM mempunyai pilihan yang pelbagai dalam memperoleh sistem MRAD canggih dan berprestasi tinggi. 

 

Türkiye misalnya telah menawarkan sistem MRAD HISAR kepada Malaysia. HISAR dibangunkan oleh ASELSAN dan Roketsan iaitu dua syarikat pertahanan terbesar di Türkiye.

 

Dua syarikat ini juga merupakan pempamer wajib hadir pada setiap kali pameran pertahanan LIMA atau DSA berlangsung di Malaysia sejak 20 tahun lalu.

 

Meriam

 

Ia menawarkan dua varian iaitu HISAR-A yang direka untuk menghalang ancaman pada jarak hingga 15-25 kilometer (km), sementara HISAR-O boleh mencapai jarak sekitar 25-40km.

 

Satu lagi pilihan yang lebih ekonomi bagi TUDM adalah sistem LY-80 (HQ-16) dari China. 

 

LY-80 sangat efektif dalam menghadapi ancaman udara dari pelbagai jenis sasaran. 

 

Dengan jarak tembakan antara 40 hingga 50km dan keupayaan untuk menangani sasaran pada altitud rendah hingga sederhana, LY-80 menawarkan perlindungan yang penting dalam rangkaian pertahanan udara berlapis.

 

Pesawat
TUDM ketika ini memiliki sistem pertahanan udara aras rendah dengan keupayaan yang terhad.

 

Berbanding MRAD pesaing, China menawarkan tanda harga yang lebih kompetitif.

 

Pesaing lain adalah sistem KM-SAM (Cheongung-II) dari Korea Selatan. Ia adalah pilihan sistem MRAD berprestasi tinggi yang semakin popular dalam pengguna negara Timur Tengah dan Asia. 

 

Sebagai contoh, Arab Saudi menandatangani perjanjian pembelian 10 bateri KM-SAM dengan nilai keseluruhan sekitar USD3.2 bilion, bermakna kos untuk satu bateri adalah sekitar USD320 juta.

 

Selain dilihat sebagai langkah strategik TUDM dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara, pembelian ini juga membuka ruang kepada peluang kerjasama industri. 

 

Tidak semestinya dalam pembuatan persenjataan tetapi juga dalam pertukaran teknologi, industri hiliran dan pendidikan.

 

Meriam
Korea dipercayai menawarkan sistem KM-SAM kepada Malaysia.

 

Peningkatan perolehan pertahanan negara ini memberi isyarat bahawa Malaysia sedang membuka pintu kepada firma pertahanan global untuk menyertai projek-projek industri pertahanan yang lebih besar dan lebih kompleks.

 

Bagi syarikat pertahanan antarabangsa, Malaysia menyediakan sebuah pasaran yang semakin berkembang untuk teknologi dan produk pertahanan terkini. 

 

Selain daripada peluang pembekalan peralatan, ia juga membuka ruang bagi syarikat pertahanan untuk terlibat dalam aspek penyelenggaraan, latihan dan sokongan teknikal. 

 

Ini boleh mendorong pelaburan asing dalam industri pertahanan tempatan yang bukan sahaja memperkaya pengalaman dan kepakaran negara, tetapi juga meningkatkan hubungan antara Malaysia dan syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa yang terkemuka.

 

Meriam
IRIS-T.

 

Meriam
Sistem MRAD LY-80 buatan China.

 

 

Salah satu aspek paling penting dalam kerjasama industri pertahanan adalah pertukaran teknologi dan pengetahuan. 

 

Ia juga boleh meningkatkan pembangunan sektor-sektor lain yang berkaitan dengan pertahanan seperti teknologi maklumat, elektronik, dan kejuruteraan, yang memainkan peranan penting dalam kelancaran operasi sistem pertahanan udara.

 

Program-program latihan yang dijalankan bersama syarikat pertahanan antarabangsa boleh memberikan pengetahuan mendalam mengenai operasi dan penyelenggaraan sistem pertahanan canggih. 

 

Meriam

 

Ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan sumber manusia dalam sektor pertahanan, tetapi juga membuka ruang bagi pengkhususan dalam bidang pertahanan yang mungkin menjadi tumpuan di masa hadapan.

 

Sebagai kesimpulan, perolehan MRAD dapat memberi gambaran awal tentang pembangunan dalam kerjasama pertahanan aras tinggi yang boleh diteroka dan menguntungkan negara. - DagangNews.com