KUALA LUMPUR 7 Ogos — Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober 2025 diramal agak berbeza daripada sebelum ini terutama kepada sektor pembinaan, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia menjangka fokus pembentangan belanjawan tahunan kerajaan pada kali ini lebih terhadap sektor berkenaan yang kelazimannya agak kurang diberikan tumpuan.
Tambahnya, gambaran itu dapat dilihat begitu ketara daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2025.
"Berdasarkan semakan kami, perancangan lima tahun itu yang akan bermula tahun depan sudah memberi petunjuk awal isi Belanjawan 2026 ke atas sektor pembinaan," kata CGSI dalam satu nota kajiannya.
Ia merujuk peruntukan RMK13 untuk perbelanjaan pembangunan pelbagai projek terutama infrastruktur awam seperti sekolah dan hospital sehingga 2030 yang mencecah RM430 bilion secara keseluruhannya.
Justeru tambah firma berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka memanfaatkan Belanjawan 2026 sebagai platform bagi menetapkan 'nada' projek pembangunan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16.
Selain itu, CGSI menjangkakan rentak beliau akan berubah berbanding Belanjawan 2025 pada tahun lalu apabila Perdana Menteri dilaporkan berkata 'sekarang bukan masa untuk melancarkan projek mega'.
"Ramalan kami disahkan menerusi usaha pelarasan semula subsidi serta pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 yang memberikan hasil tambahan kepada kerajaan," katanya.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut berpendapat, kerajaan memang menyedari sektor pembinaan memiliki kesan pengganda yang kuat memandangkan hubungan kukuh dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Ini termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memberi banyak manfaat tidak langsung kepada kontraktor bahan pembinaan dan pengeluar simen.
CGSI turut optimis dengan pelbagai projek prasarana jangka panjang yang kesan limpahan ekonomi boleh mempengaruhi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sehingga tamat RMK13 pada 2030.
"Berdasarkan potensi perkembangan itu, kami mengekalkan penarafan 'overweight' dengan saham pilihan utama ialah Gamuda Berhad, IJM Corp Berhad dan Malayan Cement Berhad," katanya. - DagangNews.com








