Pertumbuhan Top Glove masih lemah berikutan tekanan harga jualan pada 4QFY25, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Top Glove masih lemah berikutan tekanan harga jualan pada 4QFY25, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 SeptTop Glove Corporation Berhad dijangka berdepan pertumbuhan lemah meskipun bakal mencatat sedikit peningkatan hasil dalam keputusan suku keempat berakhir 31 Ogos 2025.


Menurut RHB Research, ia mengekalkan saranan 'jual' ke atas saham pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu, namun harga sasaran lebih rendah iaitu 54 sen sesaham berbanding sebelum ini 65 sen. 


Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan harga saham akan datang kumpulan berkenaan setelah melalui tempoh 4QFY25 itu menandakan potensi penurunan kira-kira 11% daripada harga semasa.


“Walaupun terdapat pemulihan dalam volum jualan dan harga bahan mentah yang lebih rendah, tekanan terhadap harga jualan purata (ASP) diramal masih lagi kekal,” menurut firma itu dalam notanya.


Top Glove dijangka mengumumkan keputusan kewangan pada 9 Oktober 2025, dengan untung teras sukuan diunjur sebanyak RM3.4 juta, menjadikan keuntungan setahun penuh FY25 dianggar sekitar RM2.6 juta.


Bagaimanapun, RHB Research memberi amaran, jangkaan pasaran mungkin terlalu yakin memandangkan kuasa penetapan harga masih lemah, terutama bagi eksport ke pasaran bukan Amerika Syarikat (AS).


Ia menyumbang majoriti peningkatan volum penghantaran, namun persaingan dijangka memuncak mulai Oktober 2025 apabila pengeluar sarung tangan dari China mengoperasikan kilang baharu di Indonesia.


"Fasiliti ini dijangka menambah kapasiti tahunan kepada 10 bilion helai produk tersebut yang bersamaan 6% daripada pengeluaran keseluruhan oleh semua lima syarikat besar Malaysia," katanya.


Sarung tangan generik dari kilang baharu itu tambahnya, dijangka dijual AS$2 (RM8.40) lebih murah bagi 1,000 helai berbanding harga semasa AS$19 (RM79.80) yang ditawarkan oleh pengeluar Malaysia.


Keadaan berkenaan kata RHB Research, sekali gus bakal menjejaskan daya saing harga ditawarkan Top Glove sendiri dalam pasaran eksport utama seperti AS dan kemungkinan boleh menurunkan permintaan.


Justeru firma itu menyemak semula unjuran keuntungan bersih direkodkan kumpulan tersebut untuk FY25, FY26 dan FY27 kepada masing-masing hanya sebanyak RM3 juta, RM32 juta dan RM70 juta.


"Penurunan ini mencerminkan penyesuaian terhadap ASP dan volum jualan, dengan kami turut menyemak turun anggaran kos modal (WACC) kepada 9.5% selepas pelarasan kepada purata dua tahun," katanya.


Ia namun menjangka pelbagai risiko yang boleh membawa kenaikan penilaian Top Globe termasuk faktor pengukuhan dolar AS berbanding ringgit dan peningkatan mendadak ASP sarung tangan di pasaran.


Selain itu tambah RHB Research, kadar penggunaan kapasiti lebih tinggi daripada jangkaan dan penurunan harga bahan mentah yang lebih besar daripada unjuran turut membantu kumpulan berkenaan.


Bagaimanapun ia menegaskan cabaran struktur dalam industri, kos operasi tinggi, serta penurunan kuasa harga kekal menjadi penghalang utama kepada pemulihan jangka pendek. - DagangNews.com