Pertumbuhan TM Global pacu prospek hasil, Phillip Capital kekal saranan 'beli' Telekom Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan TM Global pacu prospek hasil, Phillip Capital kekal saranan 'beli' Telekom Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 JanPhillip Capital mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan harga sasaran 12 bulan akan datang tidak berubah kepada RM8.90 sesaham.


Katanya, keyakinan itu didorong potensi peningkatan pendapatan daripada segmen TM Global, khususnya melalui perluasan rangkaian domestik 4G dan 5G, serta akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).


Firma penyelidikan itu menyatakan pertumbuhan TM Global kekal disokong oleh sambungan domestik yang menyumbang kira-kira 80% hasil segmen, terutamanya daripada rangkaian utama 4G/5G dan HSBB.


"Kami turut mengunjurkan hasil TM Global mampu berkembang dengan baik antara 2.3% hingga 3.6% tahun ke tahun (YoY) antara tempoh 2025 hingga 2027," jelas Phillip Capital dalam notanya hari ini.


Pertumbuhan berkenaan katanya, adalah selari dengan sasaran kerajaan sendiri untuk mencapai kadar penembusan luas liputan telekomunikasi 5G sebanyak 98% di seluruh negara ini menjelang 2030.


Dari segi infrastruktur pusat data (DC) tambahnya, perluasan Klang Valley DC (KVDC) dan Iskandar Puteri DC (IPDC) masing-masing berkapasiti tambahan 10MW kini sudah pun beroperasi sepenuhnya.


Sementara itu jelas Phillip Capital, pembinaan DC Nxera berkapasiti 64MW telah mencapai kemajuan 15% dan dijangka siap sepenuhnya pada 3Q26, namun sumbangan hasil jangka pendek masih kecil.


"Kami menjangkakan segmen DC yang diuruskan TM mencatat pertumbuhan dua digit dalam jangka panjang, dipacu permintaan kukuh pelanggan besar seperti Google, Meta, Alibaba dan Amazon," katanya.


Bagi prestasi suku keempat 2025 (4Q25) pula, firma penyelidikan tersebut menjangkakan hasil TM naik secara suku tahunan dengan disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada TM Global dan TM One.


Bagaimanapun, keuntungan bersih teras dijangka susut kepada RM500 juta, berbanding RM691 juta pada 3Q25, berikutan normalisasi kadar cukai efektif selepas manfaat kadar rendah pada suku sebelumnya.


Phillip Capital menambah, segmen pengguna Unifi diramal mencatat hasil mendatar susulan persaingan sengit, walaupun purata hasil setiap pengguna (ARPU) didapati stabil iaitu RM130 pada 3Q25.


"Ramai pelanggan menaik taraf pelan bernilai lebih tinggi dan penawaran seperti Unifi TV 2.0 serta Smart Home, dengan kami mengunjurkan pertumbuhan hasil Unifi antara 1.2% hingga 2.4% YoY," katanya.


Secara keseluruhan, firma itu kekal positif terhadap prospek jangka panjang TM, disokong kedudukan sebagai peneraju jalur lebar tetap negara, serta peranan kritikal dalam ekosistem gentian nasional.


Ia namun menegaskan beberapa risiko termasuk tekanan persaingan, perubahan kawal selia, kos operasi bertambah dan pertumbuhan permintaan DC yang perlahan daripada jangkaan. - DagangNews.com