KUALA LUMPUR 31 Okt – Texchem Resources Berhad mencatat prestasi perlahan sepanjang sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, terkesan oleh kelemahan berterusan segmen industri dan makanan.
Menurut RHB Research, situasi itu menjejaskan keuntungan kumpulan, namun kekal berada di landasan pemulihan kukuh, disokong momentum positif dalam segmen restoran serta kejuruteraan polimer (PE).
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap kaunter tersebut dengan harga sasaran (TP) RM1.37 sesaham, mewakili potensi kenaikan 78% serta unjuran hasil dividen sekitar 8% bagi FY26.
"Nilai Texchem terus dilihat menarik pada 5 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) ke depan, dipacu pendedahan unik segmen PE dan peningkatan daya saing kumpulan," katanya dalam nota.
Semalam, ia mengumumkan keuntungan teras 9M25 naik 86% tahun ke tahun (YoY) kepada RM7.8 juta, namun masih di bawah jangkaan apabila mencapai 54% daripada unjuran setahun penuh RHB Research.
Prestasi lemah itu berpunca akibat penurunan dalam segmen industri dan makanan selain kadar cukai efektif tinggi (48%) kerana kerugian tidak boleh ditolak cukai dalam beberapa anak syarikat.
Hasil keseluruhan kumpulan pula kata firma itu, menurun 1% YoY kepada RM842.4 juta, diseret oleh segmen industri yang susut 6.2% YoY, didorong persaingan harga agresif daripada pengeluar China.
"Begitu juga Texhem mencatatkan segmen makanan adalah merosot 11.6% YoY, kesan daripada harga serta volum jualan ikan bilis dan makanan laut yang didapati lebih rendah," kata RHB Research.
Sebaliknya, segmen restoran menunjukkan prestasi menggalakkan dengan pertumbuhan kukuh dan margin yang bertambah baik, sekali gus menjadi penampan utama kepada keuntungan kumpulan berkenaan.
Pendapatan suku ketiga menurun 3.1% suku ke suku (QoQ) kepada RM276 juta, dipengaruhi kelemahan dalam segmen PE, industri dan makanan, tetapi untung bersih melonjak 50% QoQ kepada RM3.4 juta.
Perkembangan positif itu kata RHB Research, hasil pemulihan ketara segmen restoran apabila berjaya menampung kesan negatif daripada kelewatan pesanan dalam PE dan tekanan mata wang di Myanmar.
"Kami menjangkakan pemulihan Texchem akan berterusan ke 4QFY25 dan FY26, disokong oleh beberapa pemacu utama antaranya permintaan kukuh dalam industri semikonduktor dan pusat data," jelasnya.
Selain itu strategi penstrukturan semula segmen industri ke arah produk yang bernilai tinggi dan pasaran hiliran seperti perubatan, berjaya mengurangkan tekanan harga daripada pengeluar China.
Bagaimanapun, RHB Research menurunkan unjuran keuntungan FY25 dan FY26 masing-masing 14.8% dan 8.8%, mengambil kira kelemahan dalam segmen industri dan makanan serta kadar cukai yang tinggi.
Ia turut memberi amaran risiko utama termasuk jualan dan pesanan lemah daripada jangkaan, kenaikan kos bahan mentah, serta ketidaktentuan harga bahan kimia memberi tekanan margin. - DagangNews.com








