KUALA LUMPUR 20 Jun — Sime Darby Property Berhad diramal mampu mempercepatkan pertumbuhan dan pendapatan berulang daripada pengembangan portfolio hartanahnya, kata CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata, ada beberapa aliran hasil termasuk pemerolehan dua gudang logistik di Bandar Bukit Raja di Selangor baru-baru ini yang menelan perbelanjaan RM232 juta.
Pengambilalihan itu boleh menyumbang antara RM7 juta hingga RM8 juta dalam keuntungan bersih pada setiap tahun, dengan mengandaikan terdapat tujuh peratus hasil pendapatan hartanah bersih.
“Tambahan pula, pihak pengurusan pada suku pertama telah mengekalkan beberapa unit komersial dan perindustrian mereka untuk meningkatkan pendapatan sewa,” kata CGSI dalam satu nota kajiannya.
Selain itu katanya, KLGCC Mall di Kuala Lumpur yang akan dibuka kepada orang ramai pada tempoh separuh kedua tahun ini, dijangka meningkatkan lagi portfolio aset runcit kumpulan berkenaan.
Pemaju hartanah itu juga memulakan pembangunan pusat data untuk pajakan di Elmina Business Park di Selangor serta bersedia meningkatkan pendapatan berulang mulai tahun depan dan seterusnya.
Pembinaan bagi fasa satu dan dua aset pusat data tersebut tambah CGSI, berada di landasan tepat untuk dapat disiapkan masing-masing menjelang pada akhir FY26 dan tempoh separuh pertama 2027.
"Kami mengunjurkan portfolio hartanah pelaburan menyumbang kira-kira RM119 juta dalam keuntungan bersih menjelang FY27, membentuk 11% daripada keuntungan bersih kumpulan," kata firma berkenaan.
Bagaimanapun, ia menjangkakan Sime Darby Property boleh terjejas disebabkan oleh cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang membawa melonjakkan kos pembinaan produk komersial dan perindustrian.
CGSI juga tidak menolak risiko jualan lebih lemah dalam segmen komersial dan perindustriannya kerana harga hartanah yang tinggi dikhuatiri boleh menjejaskan sentimen pembeli berpotensi.
Berdasarkan perkembangan ketika ini, firma itu mengulangi saranan "tambah" ke atas saham kumpulan berkenaan dan harga sasaran juga masih tidak berubah kepada RM1.90 sesaham. - DagangNews.com








