Pertumbuhan Press Metal kukuh pada 2H25 dipacu lonjakan harga aluminium global, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Press Metal kukuh pada 2H25 dipacu lonjakan harga aluminium global, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 SeptPress Metal Aluminium Holdings Berhad mampu mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada tempoh separuh kedua 2025 (2H25), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan tersebut menambah, prestasi positif itu disokong terutama oleh faktor peningkatan harga aluminium global, strategi lindung nilai yang berkesan, serta penurunan kos pengeluaran. 


Berdasarkan kepada perkembangan semasa ini, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan pengeluar aluminium terbesar di ASEAN itu dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM6.60.


"Harga karbon anod, salah satu bahan utama dalam pengeluaran aluminium, sebenarnya sudah menurun 5% suku ke suku (QoQ) dan keadaan ini juga banyak membantu Press Metal," kata HLIB dalam notanya.


Pada masa sama jelas firma berkenaan, nisbah kos aluminium–alumina pula adalah kekal stabil sekitar 13% hingga 14%, yang turut menolong bagi mengekalkan margin keuntungan syarikat tersebut.


Walaupun harga alumina naik sedikit daripada AS$354 (RM1,486) setiap tan pada 2Q25 kepada AS$362 (RM1,520) setiap tan pada 3Q25, pasaran global secara am berada dalam keadaan berlebihan stok.


Lambakan bekalan logam tersebut kata HLIB, berikutan peningkatan dalam kapasiti penapisan di China dan Indonesia sebelum inventori bahan berkenaan memenuhi pasaran antarabangsa secara serentak.


"Kami menjangkakan harga alumina kekal antara AS$330 hingga AS$370 (RM1,385 hingga RM1,553) setiap tan, kecuali berlaku gangguan bekalan tenaga atau kerosakan operasi tidak dirancang," jelasnya.


Bagaimanapun tambah firma tersebut, potensi peningkatan pendapatan Press Metal pada masa hadapan turut disokong oleh pelbagai projek pengembangan kapasiti yang dirancang oleh kumpulan berkenaan.


Antaranya kata HLIB, pegangan 21.7% dalam Nan Shan Aluminium, yang dijangka meningkatkan kapasiti menjelang 1H26, dan projek penapisan alumina di Indonesia melalui anak syarikatnya, PT KAN.


Ia kini di peringkat kerja tanah dan kajian lapangan, dengan Fasa 1 dijangka siap menjelang FY27 dengan kilang itu dijangka dapat menampung 55% daripada keperluan tahunan alumina Press Metal.


"Keadaan ini sekali gus diyakini mampu mengurangkan kebergantungan syarikat kepada pembekal luar terutama selepas pelaksanaan larangan eksport bauksit oleh pihak berkuasa Indonesia," tambahnya.


HLIB secara keseluruhan menilai prospek pertumbuhan jangka sederhana dan panjang kumpulan tersebut kekal positif, didorong oleh kestabilan harga komoditi dan strategi pengukuhan rantaian bekalan.


Dengan pengeluaran semakin cekap, sokongan kukuh harga aluminium, serta inisiatif strategik, Press Metal berada dalam kedudukan baik mengekalkan pertumbuhan mampan ke hadapan. - DagangNews.com