Pertumbuhan pinjaman bank tempatan diramal lebih lemah kesan tarif Trump, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman bank tempatan diramal lebih lemah kesan tarif Trump, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 April — Sektor perbankan tempatan dijangka berdepan pertumbuhan pinjaman lebih perlahan berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan kadar tarif sebanyak 24 peratus ke atas produk Malaysia, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma tersebut berkata, situasi kelembapan berkenaan boleh berlaku melalui potensi pemotongan kadar faedah untuk merangsang semula ekonomi dan kemungkinan terjadi isu kualiti aset yang akan membawa kepada kos kredit lebih tinggi.


Pada awalnya, ia menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan sebanyak 4.3 peratus, turun berbanding 4.9 peratus semasa, dan akan mengurangkan anggaran pertumbuhan pinjaman industri kepada 4.7 peratus, daripada 5.5 peratus.


“Pasukan ekonomi kami juga berpendapat bahawa kita boleh melihat pengurangan 25 mata asas dalam kadar faedah, berbanding andaian semasa kadar dasar semalaman (OPR) adalah stabil sebanyak 3.00 peratus," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.


Mengenai kualiti aset kata firma tersebut, apa yang positif ialah nisbah pinjaman terjejas kasar industri sebanyak 1.45 peratus pada akhir Februari 2025 adalah lebih rendah daripada paras prapandemik Covid-19 iaitu 1.51 peratus direkodkan hujung Disember 2019.


Selain itu jelasnya, kebanyakan operator bank tempatan masih lagi mempunyai tindanan pengurusan tertunggak yang boleh digunakan kembali pada waktu tertentu.


Maybank IB berkata sekiranya berlaku pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, analisis sensitivitinya mengandaikan pengurangan satu peratus untuk pertumbuhan pinjaman, pemotongan 25 mata asas dalam OPR, dan peningkatan 20 peratus kos kredit secara keseluruhan.


"Ini menunjukkan kesan sebanyak tiga hingga tujuh peratus yang boleh diurus ke atas pendapatan bank. Walaupun begitu, kami berpendapat bahawa hasil dividen akan kekal menarik, antara empat peratus hingga enam peratus," kata firma berkenaan.


Ia juga menyatakan bahawa yang paling kurang terjejas dari segi pendapatan ialah bank-bank bertumpu domestik seperti Public Bank Berhad, AMMB Holdings Berhad dan Hong Leong Bank Berhad, dengan kesemuanya diberi saranan "beli" dalam senarainya. - DagangNews.com