Pertumbuhan pinjaman bank dijangka sederhana 4% - 5% dalam 2 tahun, kata S&P Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman bank dijangka sederhana 4% - 5% dalam 2 tahun, kata S&P Global

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 SeptS&P Global Ratings menjangkakan pertumbuhan pinjaman sektor perbankan Malaysia perlahan kepada empat hingga lima peratus setahun dalam tempoh dua tahun akan datang.


Firma penarafan antarabangsa tersebut menambah, perkembangan aktiviti pembiayaan berkenaan adalah kurang sedikit berbanding sebanyak 5.5 peratus yang pernah direkodkannya pada tahun lalu.


Kelembapan itu didorong pinjaman korporat yang hanya meningkat pada kadar 3.4 peratus tahunan dalam separuh pertama 2025, susulan ketidaktentuan dasar tarif luar yang mengekang sentimen pelaburan.


“Walaupun dasar perdagangan kini lebih jelas, permintaan pinjaman korporat dijangka kekal lemah berikutan faktor ketidaktentuan luaran yang berterusan,” kata S&P Global dalam nota penyelidikannya.


Ia turut memerhati trend syarikat korporat beralih ke pasaran bon berikutan kadar faedah yang lebih rendah, namun pelbagai projek infrastruktur dan pusat data, dijangka mampu memberi potensi cukup positif. 


Keadaan tersebut kata firma berkenaan, terutamanya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS—SEZ) yang diramal menyumbang prospek kepada pertumbuhan aktiviti pinjaman dan keuntungan kepada bank.


S&P Global menambah, meskipun bank-bank tempatan bukan pemberi pembiayaan akhir, mereka masih boleh menjana pendapatan yuran melalui pelbagai kegiatan penyusunan atau pemanduan bimbingan.


"Dalam segmen runcit, pinjaman perumahan dan kenderaan menjadi pemacu utama, dengan pertumbuhan tahunan sekitar 4.8 peratus sepanjang tempoh enam bulan pertama pada tahun ini," kata firma itu.


Sehubungan perkembangan positif tersebut, ia menjangkakan pertumbuhan ini akan kekal stabil pada kadar 5 hingga 6 peratus disokong oleh kadar pengangguran rendah dan kenaikan gaji pekerja.


Selain itu, S&P Global menjangkakan sektor perbankan mengekalkan keuntungan sihat, dengan pulangan atas aset diunjur stabil sekitar 1.4 peratus, walaupun berdepan risiko penurunan isu makroekonomi.


Kesan daripada pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) juga dijangka seimbang, berikutan keperluan rizab yang lebih rendah serta aktiviti pengurusan kos pembiayaan secara strategik oleh pihak bank.


“Bank dengan francais deposit runcit yang kukuh dan kecekapan operasi tinggi lebih bersedia menghadapi persaingan sengit dalam pasaran pinjaman serta deposit,” tegas firma itu. - DagangNews.com