Pertumbuhan Pekat pada 2026 kekal cerah didorong projek solar berskala besar - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Pekat pada 2026 kekal cerah didorong projek solar berskala besar - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 DisMBSB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Pekat Group Berhad dengan harga sasaran RM2.00 susulan keyakinan baharu terhadap prospek pertumbuhannya menjelang  2026.


MBSB Research turut optimis menilai potensi kumpulan berkenaan selepas sesi pertemuan bersama pengurusan syarikat tersebut yang diketuai oleh Pengarah Urusan, Chin Soo Mau baru-baru ini.


Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan secara mampan yang merentasi semua segmen operasi, didorong oleh faktor peningkatan projek solar berskala besar (LSS) dan atas bumbung selama ini.


"Permintaan juga kukuh bagi kerja perlindungan kilat dan bumi (ELP) berkaitan pusat data (DC), serta sumbangan berterusan daripada EPE Switchgear (M) Sdn Bhd," katanya dalam satu nota kajian.


Anak syarikat Pekat tersebut jelas MBSB Research, masih kukuh dalam segmen voltan sederhana (11kV dan 33kV), yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Menurut firma berkenaan, aset di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) milik kumpulan tersebut dijangka mencapai tarikh operasi komersial (COD) selewat-lewatnya menjelang April 2026.


Loji solar berkapasiti 29.99MWac di Tronoh, Perak sudah meraih lima pelanggan korporat, manakala Pekat bertindak sebagai kontraktor projek CGPP milik MF Solar Tronoh Sdn Bhd, bernilai RM115 juta.


"Ia dijangka mencapai COD sekitar Februari hingga Mac 2026, dan Pekat juga di landasan bagi memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran Utama bursa menjelang 2QCY26," kata MBSB Research.


Pengurusan kata firma penyelidikan itu, menyasarkan memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) pada Januari 2026, sebelum memulakan proses penyerahan rasmi pemindahan penyenaraian di bursa.


Jelasnya, setakat November 2025, Pekat mencatatkan buku tempahan terkumpul sebanyak RM632 juta, dengan sumbangan paling besar diperoleh daripada segmen peralatan pengagihan kuasa (RM291 juta).


Ini diikuti segmen solar (RM189 juta), ELP (RM140 juta) dan perdagangan (RM12 juta), dengan MBSB Research menjangkakan penambahan kontrak kekal sihat, disokong oleh LSS5+, LSS6 serta projek DC.


"Kedudukan EPE Switchgear dalam rantaian bekalan TNB juga membantu kumpulan itu, dan pengurusan syarikat berkenaan sedang berbincang untuk projek ladang solar berkapasiti 100MWac," jelasnya.


Sementara itu, walaupun terdapat kelembapan permintaan solar atas bumbung selepas tamat skim NEM pada Jun 2025, firma tersebut menjangka pemulihan bermula 1QCY26 dengan pelaksanaan program lain.


Antaranya Solar Accelerated Transition Action Programme oleh Suruhanjaya Tenaga, selain permintaan terhadap sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dalam kalangan pelanggan komersial dan industri.


MBSB Research mengekalkan unjuran hasil Pekat dan menegaskan yang struktur kontrak kos-tambah kumpulan berkenaan dapat membantu melindungi margin daripada kesan kenaikan harga modul solar.


"Secara keseluruhan, kami percaya Pekat berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan peralihan tenaga, pembangunan DC dan peluang infrastruktur elektrik," katanya. - DagangNews.com